Rabu, 4 Ogos 2010

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=27799:pelarian-rohingya-perlu-bantuan-segera&catid=94:global2&Itemid=135

PELARIAN UMAT ISLAM ROHINGYA PERLU PEMBELAAN

Keadaan umat Islam Rohingya yang berada di Kutupalong, Bangladesh kini amat menyedihkan apabila khemah-khemah dan pondok-pondok tempat mereka berlindung kini musnah dilanda banjir dan ribut teruk. Citizen International dan SHURA kini mengambil inisiatif untuk mengumpul dana untuk membantu 11,000 keluarga di sana.

Kini mereka memerlukan bantuan sebanyak RM100 untuk kegunaan sebuah keluarga dan mampu menanggung kos kebajikan dan kehidupan selama 3 bulan.

Banjir dan ribut yang melanda berlaku selama beberapa jam sebanyak 24.2 sentimeter (9.5 inci) dan melanda di banyak tempat di Bangladesh.

Kawasan yang paling buruk dilanda ribut ini adalah di Teknaf yang meletakkan kem-kem pelarian Kutupalong.

Bangladesh mengiktiraf seramai 28,000 Rohingya sebagai pelarian yang berdaftar dan mereka ini menerima bantuan secara rasmi di kem-kem UN di Kutupalong. Bilangan ini hanyalah pecahan daripada jumlah besar 300,000 orang pelarian yang tidak diiktiraf berdasarkan anggaran kerajaan Bangladesh.

Di Bangladesh ketika ini ada persamaan dengan kes di Gaza iaitu segala bahan bantuan disekat masuk. Kaum Rohingya merupakan populasi muslim terbesar, sekitar 3.5 juta orang di Myanmar yang kebanyakannya tinggal di Rakhine, salah sebuah negeri di Myanmar yang berkongsi sempadan dengan Bangladesh.

Mereka menjadi pelarian di Bangladesh, Pakistan, Thailand, Malaysia dan negara lain sejak lebih 50 tahun dahulu akibat penindasan dan penganiayaan pemerintahan Burma dan penganut Buddha ke atas mereka.

Di Kutupalong, 185 batu (296 kilometer) selatan Dhaka, kini direkodkan Rohingya tinggal di pondok-pondok buruk, di mana mereka mengalami kekurangan gizi, anak-anak hanya berkaki ayam serta membuang najis di merata-rata tempat.

Manakala di Kem pelarian Kutupalong UN pula ia dilengkapi dengan kemudahan perubatan, pusat pembelajaran komputer, gelanggang bola tampar dan janakuasa elektrik.

Namun, nasib malang yang menimpa lebih 200,000 Rohingya yang hingga kini tidak diberi status pelarian oleh Bangladesh dan hidup di bawah ancaman. Mereka seringkali akan ditangkap atau dihantar kembali ke Myanmar. Sebahagian bekerja sebagai buruh harian atau penarik beca di Cox's Bazar.

Bangladesh hanya bersedia untuk bekerjasama dengan PBB untuk memberikan akses dan perlindungan terhadap 28,000 pelarian Rohingya di kedua-dua kem rasmi.

Namun pemimpin Bangladesh menolak untuk membincangkan tentang baki yang terpaksa tinggal di Bangladesh secara haram.

Bangladesh adalah antara negara yang tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokolnya pada 1967. Hal ini sama dengan kerajaan Malaysia. Namun keadaan Rohingya di Malaysia jauh lebih selesa berbanding dengan keadaan mereka di Bangladesh.

Pelarian Rohingya tidak inginkan kemewahan seumpama di Malaysia. Mereka hanya inginkan tempat untuk tinggal sementara, bercucuk tanam dan membesarkan anak mereka jauh dari kekejaman Junta Komunis Burma. Malangnya, bukan sekadar mereka diusir dari Bangladesh, malah terdapat banyak kes rogol, pencabulan, pukul dan bunuh yang dilakukan oleh penguatkuasa Bangladesh yang mengambil kesempatan terhadap umat Islam seaqidah dengan mereka!

Pada awal Mac 2007 kerajaan Bangladesh pernah menghancurkan sebahagian besar tempat perlindungan pelarian yang disebut "Tal" yang menempatkan lebih dari 6,000 pelarian Rohingya di Teknaf, selatan Cox's Bazaar, berhampiran sempadan dengan Burma. Tidak ada tempat penampungan alternatif yang disediakan bagi insan-insan yang malang ini. Kini dilaporkan sebahagian besar mereka hanya tidur seperti kucing kurap di bawah cuaca panas mahpun hujan tanpa bumbung untuk perlindungan asasi!

Salahlaku yang dilakukan oleh badan-badan penguatkuasaan undang-undang Bangladesh dilaporkan tersebar luas di dalam dan sekitar kem pelarian Rohingya, termasuk laporan penderaan seksual terhadap perempuan.

Pihak berkuasa Bangladesh kini juga menolak untuk membenarkan pembinaan bangunan kekal yang akan dibina di kem-kem kerana ingin mendorong para pelarian untuk kembali ke Myanmar.

Citizen International melalui koordinator kempen kemanusiaan Rohingya iaitu Cikgu Azmi Hamid kini giat mengumpul dana untuk menyediakan khemah dan bantuan asasi kepada 11,000 keluarga di sana dan dijangka mampu disalurkan sebelum Ramadhan tahun ini.

Perlu ditegaskan bahawa United Nation hanya memberi tumpuan kepada Rohingya yang berdaftar sahaja, bukan kepada kesemua pelarian yang ditakrifkan oleh Konvensyen Pelarian 1951.

Kepada mereka yang berminat untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan ini boleh berbuat demikian melalui akaun Teras iaitu BIMB 02020010021351, atau menghubungi 019-4744856 (Cikgu Azmi Hamid).

Muhammad Nuruddin Bashah