Isnin, 20 Jun 2011

Misteri menyelubungi pembunuhan Osama

Persekitaran dan suasana penuh misteri menyelubungi pembunuhan pemimpin Al-Qaeda, Osama Bin Laden oleh pasukan komando khas Amerika Syarikat (AS) di Abbottabad, Pakistan awal pagi Isnin waktu Pakistan dan hari Ahad 1 Mei di Washington.


Pembunuhan kejam dengan tembakan terhadap Osama dikepala dan dibahagian lain tubuh Osama yang dikatakan tidak bersenjata membuktikan tindakan keganasan pihak AS dalam misinya untuk membunuh pemimpin kesayangan umat Islam itu. Jika benarlah yang dibunuh itu adalah Osama, kerana ramai terutama umat Islam masih meragui, maka kini Osama adalah Al-Syahid Osama Bin laden.

Pembunuhan Osama menjadi tajuk berita besar akhbar-akhbar dan saluran-saluran TV seluruh dunia. Osama dibunuh dalam operasi khas yang diarahkan oleh Obama sebagai pemerintah tertinggi angkatan bersenjata AS. Obama mengarahkan pembunuhan dan Obama juga mengumumkan kematian pejuang dan jihadis ulong Islam di abad ini itu.

Beberapa hari selepas Osama dibunuh di hadapan anak-anak dan isteri-isteri serta keluarganya, Obama melakukan lawatan ke Ground Zero, kawasan peringatan kemusnahan menara berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang dirempuh oleh kapalterbang penumpang yang dikatakan dirancang oleh Osama.

Lawatan itu simbolik sebagai penyataan simpati kepada mereka yang terkorban seramai lebih 3,000 orang akibat serangan kapalterbang penumpang itu dalam peristiwa yang di kenali sebagai 9/11, iaitu 11 September 2001. Obama meletakkan kalungan bunga di kawasan peringatan itu dan menemui kaum keluarga mewakili mereka yang terkorban.

Obama secara simbolik memberitahu rakyat AS bahawa dendam telah berbalas. Osama yang merencanakan serangan itu kini telah dibunuh. Rakyat AS bersorak gembira dan Obama mengatakan bahawa dunia kini lebih selamat setelah Osama dibunuh.Rating popolariti Obama yang rendah kerana isu-isu ekonomi dan sosial yang gagal ditanggani Obama telah melonjak naik kerana pembunuhan itu.Obama akan bertanding bagi penggal kedua untuk mengekalkan kepresidenannya pada akhir tahun hadapan kerana itu dia perlu meningkatkan ratingnya dari sekarang.

Kenyataan Obama itu disahut sama oleh Perdana Menteri NajibTun Razak dengan kata-kata yang sama nadanya.Betapa hebatnya Najib kerana mempunyai tahap dan aliran pemikiran yang sama dengan Obama. Sekurang-kurangnya mentornya, Tun Dr Mahathir tidak berkongsi pandangan dengan Najib dan beliau mengecam tindakan Obama mengarahkan pembunuhan kejam itu dengan menceroboh memasuki wilayah Pakistan, sebuah negara berdaulat, walaupun Pakistan berkerjasama dengan AS dalam perang menentang keganasan.

Semua rentetan dari mula hingga akhir operasi pembunuhan ini diselubungi misteri, lebih-lebih lagi ia mengambil tempat di sebuah rumah di Abbottabad, berhampiran markas akedami tentera Pakistan dan bukan di pergunungan Tora Bora di sempadan Pakistan-- Afghanistan sebagaimana yang dipercayai sebelum ini. Osama dikatakan tinggal di gua-gua sempadan itu dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat bagi mengelakkan pengesanan setelite tentera AS yang meletakkan hadiah berjuta-juta dollor kepada sesiapa yang dapat mengesan Osama sehingga ditangkap atau dibunuh.

Tambah misteri lagi apabila Osama dikatakan tinggal dirumah itu beberapa tahun, mengikut maklumat awal dari isteri-isterinya yang kini ditahan pihak keselamatan Pakistan dan ditempatkan dilokasi yang tidak diketahui oleh sesiapa.

Operasi komando tentera AS yang mengunakan pasukan khas yang terdiri dari cabang-cabang angkatan tentera AS itu tidak pun diberitahu kepada pihak keselamatan Pakistan, kerana mengikut pengarah CIA, Leon Pahetta perisikan Pakistan tidak boleh dipercayai, tetapi masih mengadakan kerjasama dengan Pakistan dalam perang menentang keganasan.

Serangan pasukan khas AS itu mencerobuhi kedaulatan dan kemerdekaan negara Pakistan, kerana AS melakukan operasi misi pembunuhan itu tanpa pengetahuan Pakistan apalagi bantuan tentera Pakistan.

Barrack Obama yang pada mulanya teragak-agak sama ada mahu mendedahkan gambar-gambar operasi pembunuhan dan mayat Osama untuk tontonan umum, akhirnya mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan gambar-gambar itu.Ini telah menyebabkan ada prasangka teori konsperasi bahawa sama ada Osama telah benar-benar dibunuh atau yang dibunuh bukan Osama.Tetapi AS yakin yang dibunuh ialah Osama setelah contoh DNA dilakukan.

Alasan Obama bahawa penyiaran gambar-gambar itu akan dijadikan propaganda yang akan digunakan oleh pihak-pihak yang bersimpati dengan Osama untuk bertindak membalas dendam.

Kehadiran Osama dan keluarganya di rumah berkenaan, tanpa sebarang kawalan, pasukan pengawalnya bagaikan beliau mendedahkan diri kepada risiko yang paling merbahaya.Tetapi mungkin juga dengan tinggal di rumah itu di kawasan yang menjadi lalulintas kenderaan tentera Pakistan menyebabkan tiada sesiapa yang dapat mengagak atau menjangka sasaorang seperti Osama berada ditumah itu. Ia mungkin untuk mengabui pandangan umum.

Mengikut maklumat awal dari salah saorang isterinya, mereka tinggal di situ beberapa tahun lalu tanpa dapat dihidu bau kehadirannya. Atau pun maklumat itu tidak benar dan bahawa Osama hanya baru tinggal disitu.Tetapi kenapa? Adakah Osama sakit dan memerlukan rawatan doktor. Pernah dimaklumkan bahawa Osama mengidap sakit buah pinggang dan memerlukan rawatan dialysis. Maklumat-maklumat perisikan ini tiada siapa yang dapat mengesahkan kesahihannya. Di kamarnya, selepas beliau di bunuh, ditunjukkan barisan botol-botol ubat yang digunakan oleh Osama.

Kehidupan Osama sebagai saorang yang diburu dan kerana itu semuanya ini tidak dapat disahkan kesahihannya. Ia menambahkan misteri mengelilingi pembunuhan Osama. Atau pihak perisikan AS memang sudah mengetahui kehadiran Osama di rumah itu sejak sekian lama dan melakukan operasi serangan misi membunuh pada tarikh berkenaan untuk menimbulkan anasir-anasir kejutan dan mendramakannya.

Osama sebelum ini pun pernah dikatakan telah terbunuh dalam serangan-serangan tentera AS dikawasan pergunungan bergua di Tora Bora di sempadan Pakistan-Afghanistan. Ada juga andaian mengatakan Osama dikawal selia dan dijaga oleh perisikan ISI Pakistan.

Inilah kehidupan misteri yang dijalani oleh Osama yang telah meninggalkan kekayaan dan hidup mewah hasil peninggalan harta yang diwarisi dari ayahnya untuk berjihad dijalan Allah dengan mengangkat senjata menentang penjajahan, penaklukan, penguasaan AS dan barat terhadap negara umat Islam dan ummah seluruhnya.

Osama meninggalkan kesenangan dan kemewahan dunia untuk berjuang menentang ketidakadilan. Beliau bukan pengganas sebagaimana yang dilabelkan oleh AS dan barat.tetapi yang mengganas ialah AS dan sekutunya. Mereka mengganas di semua negara umat Islam, di Afghanistan, di Iraq, Pakistan, Palestin dan negara umat Islam lain.

Kenapa Osama mengangkat senjata untuk berjuang menentang kuasa AS dan barat? Kerana kuasa-kuasa ini dengan konco-konconya menyembelih umat Islam di mana-mana jua. Lihatlah apa yang berlaku di Palestin, Iraq, Afghanistan, Pakistan dan lain-lain negara umat Islam.

Dasar-dasar talam dua muka AS dan baratlah yang membentuk pribadi dan perwatakan Osama untuk berjuang seadanya menentang satu kuasa tentera terbesar dunia.Osama yakin dan percaya kepada janji Allah, kerana memang Osama dikatakan sejak kecil lagi merupakan saorang yang taat beragama dan memahami Islam sesyumulnya.

Osama bukan sahaja di tembak dengan kejam tetapi diberi penghinaan dengan mencampakkan mayatkan ke laut. Perjalanan episod-episod ini dari pembunuhannya hingga mencampakkan mayatnya di laut tidak diketahui umum.Hanya Barack Obama dan pasukan pentadbirannya dan pembantu-pembantu kanannya di Rumah Putih sahaja yang mengetahui segala-galanya.

Di sisi pembunuhnya, mayat Osama di campakkan kelaut tetapi di sisi Allah, Insya Allah. Osama di berikan kemuliaan.Tiada siapa mengetahui kecuali mereka, bagaimana mayat Osama diuruskan.Tetapi urusan mayat saorang yang syahid tidak memerlukan pengurusan jenazah kematian biasa dalam Islam yang memerlukan dimandikan, dikapankan dan disolatkan. AS tidak mahu meninggalkan sebarang kesan sejarah peninggalan Osama, kerana itu selepas dibunuh, mayatnya dibawa pergi dan dicampakkan di tengah-tengah laut.

Segala misteri yang menyelubungi pembunuhan Osama ini lambat laun akhirnya akan diketahui , walau bagaimana sekalipun cuba dirahsiakan oleh pihak yang membunuhnya kerana bimbangkan kesan balas oleh umat Islam, jika didedahkan perincian serangan terhadap Osama dan pembunuhanya serta campakan mayatnya kelaut. Dalam waktu yang singkat akan keluar buku mengenai Osama dan akan ada pihak yang akan membuat filem mengesahkan kehidupan Osama dan kematiannya.

Nampaknya AS dan sekutunya lebih takut ketika Osama sudah syahid dari ketika beliau masih hidup. Risiko yang diambil oleh Obama dengan mengarahkan pembunuhannya kini sedang menghantui pentadbiran AS dan pentadbiran negara-negara barat dan sekutu-sekutunya serta talibarut-talibarutnya. Semua negara-negara ini sedang meningkatkan tahap pengawalan keselamatan mereka, kerana tiada siapa yang mengetahui berapa ramai mereka yang bersimpati dengan Osama dan sanggup melakukan sesuatu sebagai reaksi balas terhadap pembunuhan Osama.

Pembunuhan Osama tidak menyelesaikan apa yang cuba di selesaikan oleh pentadbiran Obama, perang menntang keganasan atau ‘war on terror’bahkan ia tambah merumitkan keadaan kerana kematian Osama akan lebih mengesankan perjuangan jihad yang diasaskan oleh Osama. Perjuangan Osama adalah sesuatu yang berinspirasi, bermotivasi dan berideologi. Ia tidak akan dapat di hilangkan dengan pembunuhan Osama.Obor perjuangannya yang sedemikian akan mampu mengilhami bakal-bakal pengikut setianya yang akan menggantikannya untuk meneruskan perjuangan.

Perjuangan jihad Osama tidak akan padam dengan pemergiannya, bahkan ia akan tambah menyalakan api perjuangan yang dimulakannya.Osama terlibat secara langsung berjihad ketika Afghanistan dijajah oleh bekas Kesatuan Soviet dan meneruskannya sehinggalah beliau dibunuh dengan kejam dan ganas oleh pasukan khas tentera AS awal pagi isnin lepas. Balasungkawa untuk Osama. Daripada Allah kita datang kepada Allah kita kembali.Osama kembali kepada Allah dengan digniti sebagai saorang yang syahid.

Khamis, 10 Mac 2011


Erbakan, Islamis yang menggugat sekularisme Turki

Necmettin Erbakan, tokoh gerakan Islam Turki yang meninggal dunia pada Ahad, 27 Februari lalu merupakan seorang yang telah mencatat sejarah penting politik Islam di negara sekular itu.

Turki secara rasmi menjadi republik pada 1923 dan menegaskan identiti sekular berasaskan ide Mustafa Kamal Ataturk pada 1928 dengan klausa Islam sebagai agama negara dipadamkan daripada perlembagaan.

Sejak itu, Kamalisme menjadi satu tunjang penting republik Turki, menegaskan identiti sekular Turki yang memisahkan agama daripada ruang politik.

Sekularisme di Turki jauh sekali daripada definisinya yang sepatutnya menjadikan negara neutral terhadap agama, tetapi menjadikan negara mengambil sikap memusuhi agama Islam.

Erbakan mencatat sejarah sebagai pemimpin parti Islam yang pertama berjaya membentuk kerajaan dan menjadi perdana menteri, walaupun untuk satu tempoh yang singkat.

Erbakan menyaksikan laluan sukar sejak terlibat secara aktif dalam politik pada 1969, apabila memenangi wakil bebas untuk Konya di Parlimen Turki.

Pada 1970, beliau menubuhkan Parti Orde Nasional, yang diharamkan pada tahun berikutnya kerana didakwa menentang asas sekular negara Turki.

Pada 1972, Erbakan menubuhkan Parti Penyelamat Nasional dan menunjukkan prestasi cemerlang dalam pilihan raya 1973 dan 1977. Beliau malah pernah menjawat jawatan timbalan perdana menteri dalam tiga kerajaan pakatan bersama parti lain.

Parti itu turut diharamkan pada 1980 dan Erbakan dipenjarakan, ekoran satu rampasan kuasa oleh pihak tentera. Erbakan dan beberapa ahli politik lain diharamkan daripada terlibat dalam politik, sehingga larangan itu ditamatkan pada 1987.

Pada 1983, Parti Kebajikan (Refah) ditubuhkan dan Erbakan mula memimpin Refah pada 1987 selepas pengharaman penglibatannya dalam politik ditarik balik. Refah berjaya meletakkan 40 orang wakil di Parlimen Turki dengan pakatan bersama Parti Rakyat.

Kemudian, Parti Kebajikan menyaksikan kemenangan terbesarnya pada 1995 apabila menjadi parti pertama mendapat 21 peratus undi, menjadi kumpulan terbesar dalam parlimen.

Dengan pakatan bersama parti pimpinan Tansu Ciller, sebuah kerajaan ditubuhkan pada 1996 dengan Erbakan menjadi perdana menteri Islamis pertama Turki. Erbakan hanya menjadi perdana menteri selama setahun, bermula Jun 1996 hingga Jun 1997.

Kemunculan parti Islam pimpinan Erbakan mencetuskan satu debat hangat di Turki yang sekular itu, debat yang masih berjalan sehingga ke hari ini, walaupun selepas parti yang lebih sekular mengetuai kerajaan.

Pihak tentera, penjaga sekularisme Turki kemudian bertindak sekali lagi terhadap parti pimpinan Erbakan dan memaksanya meletak jawatan.

Parti Kebajikan kemudian diharamkan pada 1998 dan Erbakan diharamkan daripada terlibat dalam politik selama lima tahun.

Erbakan menamatkan hayatnya sebagai pemimpin sebuah parti Islam, mencatat sejarah tersendiri sebagai Islamis Turki dan dalam perjuangan Islam di negara yang paling fanatik dalam mempertahankan apa yang ditafsir sebagai sekularisme, lebih daripada apa yang dilihat di Eropah.

Oktober tahun lalu, Parti Kebahagiaan (Saadet) melantik Erbakan sebagai pemimpin parti dalam satu konvensyen diadakan untuk memilih pimpinan baharu.

Kepimpinan Erbakan dalam Parti Kebahagiaan mencatatkan parti keempat yang dipimpin beliau selama hayatnya.

Episod perjuangan Erbakan menyaksikan satu persaingan sengit merentasi tekanan sekularisme yang kuat di Turki, sehingga asas-asas demokratik dilanggar untuk memenangkan sekularisme.

Sejarah penglibatan Erbakan dalam politik telah menyaksikan kemampuan parti Islam untuk terus terlibat dan menerima sokongan, termasuk pada masa ini ketika parti pasca-Islamis pimpinan Recep Tayyip Erdogan memimpin Turki.

Kes Islamis di Turki telah mengukuhkan hujah untuk menyokong pilihan fasa pasca-Islamisme dalam perjuangan parti-parti Islam.

Parti Erbakan dilihat sebagai tidak berupaya meneruskan perjuangan di Turki dengan wajah Islamis, berbanding Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP.

AKP muncul dengan lebih berupaya bercakap dalam bahasa semasa, menyentuh isu-isu yang mudah diterima ramai.

Walaupun sentiasa diberi amaran supaya tidak mengulangi sikap dan tindakan Islamis di Turki, AKP diterima Barat sebagai model bagi gerakan Islam dan peranan Islam dalam politik.

Di peringkat antarabangsa, usaha AKP mendekatkan Turki dengan Kesatuan Eropah dengan tindakan-tindakan yang menyelaraskan amalan di Turki dengan Eropah menerima pujian dari Barat.

Terbaharu, tindakan melibatkan Israel melonjakkan lagi nama AKP dan Turki, menyumbang kepada peningkatan dan pengukuhan kedudukan Turki sebagai kuasa serantau di Timur Tengah.

Erbakan, di penghujung hayatnya memperlihatkan sikap kritikal terhadap AKP dan kepimpinan Erdogan.

Ekoran episod serangan ke atas kapal Mavi Marmara, Erbakan mengkritik keras kerajaan Erdogan yang didakwa bersikap hipokrit apabila mengamalkan dua amalan berbeza dalam urusan melibatkan Israel.

Menurut Erbakan, Turki terus berurusan berbilion dolar melibatkan senjata dengan Israel, walaupun apa yang terjadi di Forum Ekonomi Dunia di Switzerland pada 2009 melibatkan Erdogan dengan Shimon Peres memperlihatkan hal yang berbeza.

Dalam konvensyen yang menyaksikan pemilihannya sebagai pemimpin parti baharunya, Erbakan turut mengkritik AKP dan menyatakan Parti Kebahagiaan sebagai parti Islam sebenar.

Menjelang pilihan raya Turki akan datang pertengahan tahun ini, parti Islam pimpinan Erbakan dijangka mengadakan aliansi dengan parti Islam lain.

Parti Kebahagiaan yang ditinggalkan Erbakan akan meneruskan perjuangan Islamis Turki, yang kini menjadi satu legasi penting tokoh yang dianggap “guru gerakan Islam” itu.

Dalam suasana pasca-Islamisme dilihat sebagai pilihan yang tidak dapat dielakkan lagi untuk gerakan Islam, Erbakan telah memperlihatkan kelangsungan hidup Islamis, yang terus mengambil bahagian dalam politik Turki.

Perjuangan panjang politik Erbakan telah mencatat sejarah dalam perjuangan Islamis menghadapi sekularisme Turki.

Erbakan telah mencatat sejarah sebagai Islamis yang terus menjadi pencabar utama fahaman Kamalisme Turki yang meletakkan sekularisme sebagai asas utama negara.

Ahad, 6 Februari 2011

Revolusi kebangkitan Rakyat di Mesir

Amerika Syarikat (AS) dan kuasa barat yang mendukungi kuasa regim zionis Yahudi kini bakal kehilangan satu lagi negara sahabat, rakan yang menjadi benteng, pelindung yang diperkakaskan oleh negara-negara yang bersekongkol ini untuk mencaturi agenda besar mereka di rantau Timur Tengah.

Selama 30 tahun negara-negara kuasa yang melindungi regim zionis ini memperalatkan dan memperkudakan Mesir, negara milik umat islam untuk menjadi pelindung kepada survavil regim zionis yang sentiasa kepingin untuk terus berada dalam zon selesa bagi mengatur agenda besar dirantau itu yang dikelilingi oleh negara-negara milik umat islam. Sebagai negara sahabat AS, Mesir dibayar dolar AS 1. 5 billion setiap tahun berupa bantuan melengkapkan ketenteraan dan peralatan tentera dan lain-lain. Regim zionis diberi bentuk bantuan sama berpuluh kali ganda lebih besar.

Dengan perjanjian damai Kem David dan Oslo, regim zionis menemui keamanan yang dicarinya dengan negara-negara Mesir dan Jordan dengan negara-negara barisan hadapan ini mengiktiraf kewujudan regim zionis.

Mesir, Jordan dan Syria merupakan negara barisan hadapan yang berperang dengan regim zionis beberapa kali. Dalam perang 1967 negara-negara Arab kalah teruk dengan beberapa wilayah bumi negara-negara ini ditawan regim zionis dan dalam perang 1973 Mesir berjaya membebaskan sebahagian dari Sinai dan mengistiharkan kemenangan dalam perang itu.

Perjanjian damai telah membolehkan regim zionis menumpukan perhatian kepada pembangunan ketenteraannya hingga menjadi kuasa tentera paling kuat di rantau Timur Tengah sehingga menjadi kuasa nukleur di samping pembinaan penempatan baru di wilayah-wilayah Arab yang mereka rampas dalam perang 1967.

Keamanan dengan Mesir dan Jordan membolehkan regim zionis bertindak ganas terhadap rakyat Palestin seperti dalam perang Gaza dan serangan terhadap Lubnan dan pembunuhan beramai-ramai di kem Sabra dan Shatila di Lubnan.

Negara-negara Arab telah diamankan kesemuanya. Elemen-eleman ini turut berperanan dalam kebangkitan revolusi rakyat di Mesir bermula pada 25 Januari lalu, sebelas hari selepas kejatuhan Ben Ali di Tunisia pada 14 Januari. Selain faktor-faktor ini, faktor-faktor ekonomi, kebebasan bersuara, kezaliman, penindasan dan lain-lain turut memainkan peranan yang mencetuskan revolusi kebangkitan rakyat ini yang kini masuk minggu kedua.

Kebangkitan ini memuncak pada hari Jumaat lalu selepas solat Jumaat dan ia tiba kekemuncaknya pada hari selasa apabila lebih sejuta rakyat keluar mendesak Mubarak meletakkan jawatan dengan segera. Mubarak telah menubuhkan kabinet baru dengan melantik Naib Presiden Omar Sulaiman, rakan kepercayaannya yang sebelumnya mengetuai apparatus perisikan Mesir. Selama 30 tahun Mubarak tidak melantik Naib Presiden dan memerintah secara kuku besi.

Mubarak tampil dua kali membuat ucapan ke seluruh negara melalui TV milik regim dengan membuat konsesi politik untuk berundur pada bulan Septembar, tarikh penggal keprisedenannya berakhir, tetapi konsesi itu dengan pelbagai janji reformasi politik dan ekonomi termasuk dailoq dengan kumpulan pembangkang, tidak dapat meredakan demonstarasi di Dataran Tahrir dan diseluruh Mesir termasuk di Iskandariah, Suez dan lain-lain bandar Mesir. Ia sudah terlalu lewat setelah 30 tahun.

Hari-hari Mubarak sudah berakhir walaupun pemimpin itu belum mahu meletakkan jawatan sebagaimana yang dikehendaki oleh rakyat yang menuntutnya berbuat demikian dan selagi tidak ada perletakan jawatan, maka selagi itu demonstrasi diteruskan. Mubarak tiada pilihan lain walaupun untuk mengekalkan status quo.

Presiden AS Obama dan para pemimpin barat kelihatan begitu berhati-hati dalam menanggani kebangkitan revolusi rakyat ini. Ini dapat dilihat dari kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh kuasa-kuasa AS dan barat ini.

AS dan barat dalam keadaan dilemma kerana Mubarak adalah sahabat, rakan yang bersekongkol dengan kuasa mereka untuk membentengi kebangkitan islam yang memasuki babak baru yang sangat membimbangkan AS, barat dan kuasa regim zionis.

Mesir tanpa Mubarak, Tunisia tanpa Ben Ali dan negara-negara Arab lain yang satu demi satu akan didatangi dengan kebangkitan rakyat tidak lagi mampu menjadi benteng mengekalkan keamanan regim zionis dan rantau Timur Tengah. Tanpa pemimpin-pemimpin ini Timur Tengah akan menempuh era baru yang sangat dibimbangi dan ditakuti oleh kuasa AS, barat dan regim haram zionis.

Senario politik diTimur Tengah akan berubah mendadak dengan lanskap baru apabila rakyat mencari pimpinan baru dikalangan tokoh-tokoh pergerakan islam untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemimpin diktator ini. Rachid Ghanuchi telah kembali ke Tunis dari buangan dengan mendapat sambutan luarbiasa dari rakyat.

Pada ketika Mubarak menghadapi hari-hari akhirnya walaupun dia berikrar tidak akan meninggalkan Mesir kerana mahu mati di Mesir, nama pergerakan Ikhwan Muslimun disebut-sebut bakal menyertai pilihanraya apabila berlaku proses pembaharuan politik di Mesir. Dibawah pemerintahan Mubarak, Ikhwan diharamkan dan para pemimpin Ikhwan dipenjarakan.

Sejak rampasan kuasa tentera oleh Gamal Abdul Nasir pada 1952, yang mejatuhkan Raja Farouk ramai tokoh-tokoh Ikhwan dipenjarakan dan ramai juga yang syahid seperti Al-Syahid Syed Qutb, Al-Syahid Hassan Al-Bana, pengerak dan pengasas Ikhwan.

Kejatuhan regim-regim diktator ini akan membolehkan pergerakan islam melalui proses pilihanraya muncul berkuasa jika berlaku pilihanraya adil. Kemungkinan besar pergerakan islam mencapai kemenangan bukanlah sesuatu yang mustahil seperti yang berlaku di Palestin, apabila Hamas memenangi pilihanraya 2006.

AS, kuasa barat dan regim zionis cukup takut kepada kemungkinan ini apabila Mesir tidak betah lagi menjadi benteng regim zionis dan menjadi alat negara-negara kuasa ini.

Selepas revolusi rakyat di Tunisia yang menyaksikan tumbangnya regim diktator Zine-El Abidine atau dikenali dengan panggilan Ben Ali pada 14 Januari lalu, kini regim Hosni Mubarak yang memerintah Mesir dengandecree, kekerasan, kezaliman selama 30 tahun, melalui apparatus pasukan polis yang dikendalikan melalui kementerian dalam negeri sedang berada diambang kejatuhannya. Para penganalisis politik AS dan barat bimbang Teori domino akan berlaku diTimur Tengah apabila rakyat bangkit berdemonstrasi. Regim-regim dirantau itu kini sedang sibuk membuat beberapa pembaharuan politik dengan harapan ia akan membendung kebangkitan islam dinegara mereka.

Jordan telah menukar pimpinan kerajaan bagi menanggani keadaan kerana Amman juga sedang menghadapi kebangkitan rakyat.

Rakyat Mesir yang berdemonstrasi di Dataran Tahrir dalam jumlah lebih satu juta sudah tidak gentar lagi dengan pasukan keselamatan regim Mubarak. Selama 30 tahun rakyat Mesir hidup dalam ketakutan yang menyelubungi kehidupan mereka. Lebih separuh rakyat Mesir dari jumlah 85 juta orang hidup dalam kemiskinan tegar dengan pendapatan kira-kira dua dollor sehari.

Kekayaan dibulut oleh segelintir mereka yang berkuasa dengan yang kaya menambahkan kekayaan mereka dan yang miskin terus menderita. Anak-anak muda yang berpendidikan dan terpelajar dinafikan pekerjaan menyebabkan kadar pengganguran yang tinggi. Regim Mubarak tidak dapat menyediakan pekerjaan kepada mereka.

Kesemua tolak ansur yang diketengahkan oleh Mubarak ditolak. Mereka mahukan Mubarak berundur segera sebelum bulan september. AS dan barat akan memainkan peranan untuk cuba menafikan kepimpinan ikhwan mengambil alih kekosongan melalui pilihanraya nanti.

Revolusi Mesir: Di mana kedudukan Ikhwan Muslimin?


Kebangkitan rakyat Tunisia sehingga dapat menggulingkan diktator Zine El Abidin Ben Ali dalam waktu begitu singkat kini menjalar ke Mesir, dan berpotensi cerah meranapkan banyak lagi pemerintahan kuku besi di rantau Arab. Siapa pun tidak dapat menduga, anak-anak muda yang membesar dalam ledakan dunia maklumat tanpa sempadan, yang sentiasa dikongkong dan dikurung oleh budaya takut, berjaya menghalau Ben Ali dan keluarga.

Di Timur Tengah, hampir semua kerajaan yang memerintah tidak dipilih rakyat melalui sistem demokrasi. Sama ada ia sebuah republik atau sistem monarki, memihak Barat atau memusuhinya, mengadakan hubungan dengan Israel atau tidak, namun rakyatnya sentiasa ditindas dan dinafikan hak. Elit penguasa membolot dan menimbun kekayaan untuk diri, keluarga dan kroni. Negara kaya tetapi majoriti penduduknya merempat. Pengangguran, kemiskinan dan rasuah bermaharajalela. Manakala maruah umat tergadai dengan pergantungan kepada kuasa-kuasa luar.

Tumpuan kini tertumpu ke Mesir. Regim zalim Hosni Mubarak, yang menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat dan zionis Israel hanya menunggu masa untuk runtuh. Diberitakan keluarga presiden yang memerintah selama 30 tahun itu sudahpun melarikan diri ke luar negara. Hosni tidak berupaya lagi membendung amarah rakyat, yang terus melancarkan protes tanpa henti biarpun berdepan risiko tinggi. Medan Tahrir menjadi saksi pertumpahan darah tidak dapat dielakkan, apatah lagi rakyat berdepan dengan dalang keganasan yang dicetuskan Parti Nasionalis Demokratik pimpinan Hosni.

Keaiban detik-detik akhir kehidupan presiden sebelumnya, Anwar Sadat yang dibunuh di hadapan publik dan disiar secara langsung televisyen, mungkin berulang kepada Hosni. Anwar ditembak mati seorang anggota tentera, Leftenan Khalid Islambouli ketika beliau berdiri menerima tabik hormat daripada perbarisan ketenteraan pada 6 Oktober 1981. Ia berpunca daripada kemarahan rakyat terhadap perjanjian Mesir dengan Israel, dalam Perjanjian Kem David, selain penentangan terhadap amalan rasuah dan kenaikan harga barangan.

Apabila rasa gentar dan takut sudah hilang daripada sanubari rakyat tertindas, tiada apa lagi yang mampu menghalang tercetusnya revolusi dan pemberontakan. Regim yang diperkasakan oleh pasukan keselamatan, khususnya polis rahsia yang dulunya digeruni kini terpaksa melutut dengan suara keramat rakyat. Pukulan belantan, perintah darurat, arahan berkurung, tembakan gas pemedih mata, peluru getah hatta ratusan kes pembunuhan oleh agen pemerintah; semuanya dianggap enteng apabila kepompong budaya takut pecah berkecai.

Malah balai polis diserbu penunjuk perasaan dan mereka bertindak nekad membakarnya. Satu simbol nyata bahawa ketakutan yang membungkus gerak kehidupan rakyat selama ini telah turut terbakar. Rasa hormat dan maruah diri yang dipijak-pijak sejak sekian lama mula bangkit mengisi roh generasi baru rakyat Mesir. Mereka kini sedang berusaha mencipta sejarah, bukan hanya untuk membebaskan negara yang "terjajah" sekian lama, juga bagi membawa obor semangat buat negara-negara jiran dan ummah seluruhnya.

Sejarah pembebasan negara-negara Arab, termasuk Mesir dan Tunisia, daripada belenggu penjajahan, memang luar biasa. Pengaruh Mesir terhadap orang-orang Melayu juga tidak kurang hebatnya. Akhbar-akhbar Melayu, seperti al-Ikhwan, Saudara, al-Imam, Idaran Zaman dan Suara Melayu sejak awal abad 20 telah melaporkan pergolakan politik dan gerakan kebangsaan rakyat Mesir. Nama-nama pejuang dan pemikir Islam seperti Jamaluddin Al-Afghani (1838-1897), Muhammad Abduh (1849-1905) dan Rashid Ridha (1865-1935) tidak asing lagi kepada orang Melayu, yang seterusnya menimbulkan polemik Kaum Muda di Tanah Melayu.

Menurut Prof Dr Mohammad Redzuan Othman dalam bukunya, Islam dan Masyarakat Melayu; Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, gerakan Pan-Islamisme yang dipelopori Jamaluddin Al-Afghani telah mencetuskan kesedaran kebangsaan rakyat Mesir. Ketika di Mesir, Afghani berjaya mempengaruhi generasi muda dan ramai pengikutnya muncul memainkan perana penting dalam perkembangan sejarah Mesir moden. Gagasan ideanya -- yang menyeru umat Islam kembali kepada ajaran sebenarnya -- lebih berpengaruh jika dibandingkan dengan pergerakan nasionalisme Arab atau Mesir.

Selain itu, dua institusi besar Mesir yang juga cukup dekat-akrab dengan masyarakat Islam di Malaysia ialah Universiti Al-Azhar dan gerakan Islam, Ikhwan Muslimin. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat merumuskan: "Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya' yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia."

"Sayangnya," tambah Ustaz Nik Aziz, "Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran."

Isu Palestin juga begitu dekat dengan umat Islam sedunia dan rakyat negara ini. Di kala zionis Yahudi bertindak zalim sewenang-wenangnya, dibantu pula oleh Amerika Syarikat, maka peranan negara-negara jiran, sekurang-kurangnya untuk tidak sama-sama menekan amat diharapkan. Mesir pula pernah menunjukkan komitmen dan kekuatannya untuk berperang dengan Israel.

Malangnya Mesir mengkhianati amanah dan harapan ummah. Ia turut melakukan pengepungan ke atas wilayah Gaza, Palestin. Talian hayat rakyat Palestin dipotong. Bantuan dunia luar tersekat. Mesir memang terbukti menjadi sekutu rapat dan talibarut Israel memerangi kumpulan Islam di Gaza. Benarlah rumusan Ustaz Nik Aziz:
"Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya."

Secara peribadi, saya lebih terasa intim dengan Ikhwan Muslimin (ditubuhkan pada 1927, di Isma'iliyyah, Mesir), yang dianggap guru buat semua gerakan Islam moden. Saya kira hampir semua aktivis dakwah di negara ini sedikit sebanyak, secara langsung atau tidak langsung, dipengaruhi Ikhwan. Malah kebangkitan harakah Islamiyah di negara-negara lain, seperti Jamaat Islami di Pakistan, Masyumi di Indonesia, Parti Refah di Turki, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Malaysia juga mendapat inspirasi daripada Ikhwan, yang kemudiannya diikuti Hamas di Palestin dan banyak lagi gerakan Islam di seluruh dunia.

Pengasasnya, Assyahid Hassan Al-Banna (14 Oktober 1906 - 12 Februari 1949) dibunuh regim Mesir melalui satu tipu helah jemputan perundingan dengan kerajaan. Imam yang agung itu terkena tujuh tembakan tetapi masih mampu berjalan memanggil ambulan. Bagaimanapun pihak tentera tidak membenarkan doktor merawatnya, sehinggalah Al-Bana sengaja dibiarkan mati dengan tumpahan darah yang banyak.

Tiada sesiapa dibenarkan menguruskan jenazahnya. Hanya ayahnya, Syeikh Ahmad Abdul Rahman, berusia lebih 90 tahun memandi dan mengafankan jenazah Al-Banna. Syeikh Ahmad bersama tiga anak perempuannya mengusung jenazah ke masjid dengan kawalan ketat tentera. Pengikut dan anak murid Al-Banna kemudiannya diburu bagaikan pengganas. Al-Banna bukan sahaja meninggalkan puluhan karya ulung untuk umat, tetapi lebih penting menunjukkan teladan unggul mengatur organisasi secara tersusun bagi melaksanakan perjuangan Islam di medan.

Kisah kezaliman dan penderitaan bukan hanya ditanggung Al-Banna tetapi seluruh generasi Ikhwan seterusnya. Penyeksaan yang ditanggung mereka terlalu perit untuk diceritakan. Penuh dengan air mata, penjara, darah, tali gantung, pengharaman dan pembunuhan kejam. Tokoh-tokoh Ikhwan lain yang harum namanya, dan terus disebut-sebut, selain meninggalkan khazanah pemikiran berharga, seperti Assyahid Syed Qutb, Assyahid Abd Qader Audah, Hassan Hudaibi, Umar Tilmisani, Mustafa Masyhur, Mustapha al-Siba'i, Said Hawwa, Syed Sabiq, Muhammad Al-Ghazali, Yusof Al-Qaradawi dan ramai lagi.

Memang ada pihak yang sangsi, apakah Ikhwan yang sering diperalatkan pemerintah akan "dipergunakan" sekali lagi apabila Mesir berdepan krisis besar? Apatah lagi Mesir merupakan negara paling strategik di Timur Tengah, malah bagi Napolean Bonaparte, ia negara terpenting di dunia. Regim Mesir sentiasa menekan dan menindas Ikhwan, sejak Raja Farouk, Jamal Abdul Nasser sehinggalah Anwar Sadat dan Mubarak. Walhal Nasser dan Sadat merupakan orang yang pernah rapat dengan Ikhwan.

Mohamad Fauzi Zakaria dalam, Aqidah Yang Menggoncang Dunia, yang merupakan kajian di peringkat sarjana terhadap pengaruh pemikiran Syed Qutb, menjelaskan Ikhwan terbabit secara aktif dalam Revolusi Julai 1952 menumbangkan tirani monarki, Raja Farouk. Malahan Syed Qutb ditawarkan beberapa kedudukan penting dalam kerajaan revolusi termasuk Menteri Pelajaran, memandangkan pengalamannya yang luas di bidang pendidikan. Namun beliau menolaknya.

Syed Qutb, dalam satu majlis yang dihadiri para pegawai tentera Mesir menegaskan: "Sesungguhnya revolusi telah berlaku ... keluarnya seorang raja tidak bermakna berakhirnya revovulsi. Bahkan matlamat terakhir revolusi ini ialah mengembalikan negeri ini kepada Islam ... Sesungguhnya diriku semasa pemerintahan beraja telah kusediakannya untuk dipenjarakan. Malah tidak aman diriku pada zaman ini pun untuk terus kusediakannya kepada penjara lebih daripada persediaanku sebelumnya." Dengan spontan, Jamal Abdul Nasser yang turut berada dalam majlis sama mencelah: "Saudaraku Syed, demi Allah, tidakkan sampai kebimbangan itu padamu melainkan langkahnya mayat kami. Kami berjanji padamu dengan nama Allah bahawa kamilah tebusan kepada dirimu sehingga maut!"

Realitinya, apa yang dibimbangi Syed Qutb itu terbukti benar. Atas konspirasi terancang, melalui fitnah terhadap gerakan itu, Ikhwan diharamkan pada 13 Januari 1954, pimpinan dan ribuan anggotanya ditangkap. Kenyataan rasmi regim Nasser, dua hari selepas itu: "Pengumuman penting Majlis Pimpinan Revolusi tentang Ikhwan Muslimin, hubungan mereka dengan Inggeris dan mengadakan pertubuhan sulit di dalam pasukan polis dan tentera dalam usaha menggulingkan kerajaan dengan berselindung di sebalik pergerakan agama." Syed Qutb akhirnya terkorban syahid di tali gantung pada pagi Isnin, 29 Ogos 1966, selepas dua kali dipenjarakan.

Saya yakin, suasana kini sudah banyak berubah. Generasi Ikhwan yang terlatih, berakhlak dan berdisiplin, serta kaya dengan pengalaman -- dibantu arus globalisasi dan dasar langit terbuka yang mempercepatkan proses pendemokrasian dan boleh menyulitkan berulangnya konspirasi jahat terhadap Ikhwan -- pasti bersedia menyumbang khidmat menyelamatkan Mesir secara lebih berkesan. Buat masa ini mereka lebih bersedia menonjolkan Mohamed El-Baradei, penerima Hadiah Nobel Keamanan 2005, ke hadapan. "Kemahuan kami adalah kehendak rakyat," kata salah seorang pemimpin Ikhwan di Kaherah.

Insya-Allah, Ikhwan tidak dapat ditipu lagi, manakala pemimpinnya lebih berhati-hati dan bijaksana membaca realiti bagi mengatur rentak. Imej ekstrimis, militan dan teroris, walaupun masih cuba dipalit ke wajah Ikhwan, namun agak sukar mempengaruhi majoriti rakyat yang sudah bersatu hati menghambat Hosni. Dalam masa sama, dipercayai regim Hosni cuba "bertarik tali" dan berlengah-lengah untuk meletakkan jawatan, bagi mempastikan pembaharuan Mesir tidak diterajui Ikhwan. Pemerintahan Amerika Syarikat yang menyokong transisi politik di Mesir turut meminta Hosni bertahan, bagi memastikan proses pembaharuan berjalan secara lancar dan aman.

Sekiranya pilihan raya adil dan bebas diadakan di Mesir, seperti pernah berlaku di Algeria dan Lubnan, juga seumpama di Turki, Ikhwan seperti gerakan Islam lainnya, akan mendapat sokongan ramai. Cuma, kepentingan Amerika dan Israel (terbukti Ikhwan bersedia bangun menentang Israel termasuk memikul senjata di medan perang) di Mesir jauh lebih besar berbanding Tunisia yang dibiarkan jatuh. Justeru, strategi dan pendekatan terbaik amat diperlukan oleh gerakan Islam masa kini, agar segala ruang sabotaj ditutup serapat mungkin.

Selasa, 1 Februari 2011


Ikhwan dipelawa sertai kerajaan baru
Pertubuhan Ikhwanul-Muslimin (Ikhwan) Mesir yang berpengaruh itu dipelawa untuk menyertai kerajaan baru Mesir selepas tergulingnya rejim diktator Hosni Mubarak. Ini dibayangkan oleh Ketua Pembangkang Mesir, uhamad El-Baradei dalam temuramahnya dengan wartawan CNN, Fareed Zakaria beberapa hari lalu, di tengah-tengah pemberontakan rakyat Mesir yang menuntut rejim Hosni Mubarak meletakkan jawatan.


“Mereka (Ikhwanul Muslimin) adalah orang baik,” katanya, “mereka terpelajar, patriotik, berakhlak baik dan mereka adalah rakyat Mesir yang setia.”

El-Baradei yang kini dalam tahanan rumah ditanya pandangannya adakah Ikhwanul Muslimin itu sama seperti kumpulan militant Al-Qaeeda, kumpulan militant yang lain seperti di Iran dan di tempat lain. Beliau menjawab, “sama sekali tidak, mereka rakyat Mesir yang patriotik, terpelajar.”

Tokoh yang mendapat Hadiah Nobel Keamanan kerana peranannya sebagai Pengarah Agensi Kuasa Nuklear Bangsa-Bangsa Bersatu itu menyatakan kesediaannya untuk memimpin kerajaan baru Mesir jika rakyat mahukan khidmatnya walapun beliau kini ada tugas lain.

“Bagi saya sudah tentu Ikhwan akan dipelawa menyertai kerajaan baru Mesir kerana jamaah Islam itu sangat berpengaruh, orang baik dan terpelajar,” katanya lagi.

Sekiranya kerajaan baru Mesir pimpinan El-Baradei itu menyertakan sekali jamaah Ikhwan, maka ini berbeza sekali dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan baru di Tunisia selepas Presiden Zein-Al-Abidin bin Ali digulingkan oleh satu pemberontakan di Tunisia baru-baru ini. Kerajaan baru itu sama sekali mengenepikan Ikhwanul-Muslimin Tunisia yang juga berperngaruh.

El-Baradei mendesak Amerika supaya ‘meninggalkan’ Hosni Mubarak dan jangan melibatkan diri dengan krisis di Mesir sekarang. Ulama tersohor, Dr. Yusuf Al-Qaradawi turut menggesa supaya Hosni Mubarak dan kabenitnya meletakkan jawatan. Sementara itu, pihak Ikhwan belum lagi mengeluarkan kenyataan mengenai cadangan El-Baradei itu, yang mungkin dianggap terlalu awal.

Tetapi dipercayai Ikhwan sangat berhati-hati dalam membuat keputusan seperti ini berdasarkan pengalaman pahitnyan di masa lalu, di zaman rejim Gamal Abd Naseer dan Anwar Sadat yang pada awalnya menghulurkan kerjasama, tetapi akhirnya rejim tersebut membunuh dan menahan serta menyeksa beribu-ibu ahli Ikhwan hingga kini, di zaman Hosni Mubarak.

Muhamad El-Baradei mengkritik dasar Amerika di Asia Barat, termasuk dasar Barack Obama di Mesir, yang menurutnya sama sekali bettentangan dengan aspirasi rakyat Mesir menyebabkan dasar Amerika itu gagal sama sekali.

Sementara itu, sebuah kenyataan terkini dari pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir, Dr. Mohamed Badie menyeru umat Islam di Mesir supaya bersatu, optimis kepada perjuangan ini.Beliau menyeru umat Islam supaya bersedia menghadapi tindakan golongan penindas dan bersedia berjuang, berkorban untuk menjamin masa depan lebih baik.

Jika raskyat takut dan bimbang, kata Dr. Mohamed Badie, akan hanya menyebabkan berterusannya rasuah, kezaliman dan kemusnahan.

Pemimpin Ikhwanul Muslimin itu menekankan bahawa inilah perjuangan dan pengorbanan yang perlu dibayar di mana kebebasan bersuara tidak akan diperoleh kecuali rakyat belajar untuk berjuang, menuntut hak asasi mereka.

Sheikh Badie menyeru semua umat Islam dan bangsa Arab menyuarakan bantahan mereka terhadap merebaknya gejala rasuah, tekanan terhadap kebebasan bersuara yang selama ini dianggap oleh rejim lama Mubarak sebagai tidak penting.

Kebebasan bersuara ini, menurutnya, perlu dilindungi dan pihak berkuasa tidak mempunyai hak untuk menafikannya. Baginya, rasuah yang kini terus berleluasa dilakukan oleh rejim dektator di mana rakyat mesti menentangnya.

Menurut pemimpin Ikwanul Muslimin itu, dunia Arab telah berada di bawah pemerintahan dektator yang bertujuan hanya untuk mengawal sepenuhnyan segala aspek, khususnya kekayaan negara di mana menyebabkan rakyat miskin, pengangguran, rasuah, penyelewengan, pembaziran dan kepura-puraan.

Pemimpin pemerintah Arab pula, kata beliau lagi, memerintah secara kuku besi dan mengawal kebangkitan rakyat untuk kesejahteraan raayat.

Pemimpin Ikhwan itu system pemerintaha dektator dunia Arab menyebabkan golongan yang kaya bertambah kaya, yang miskin terus miskin, tidak ada usaha melakukan perubahan.

Sementara itu, di tengah-tengah suasana pemberontakan di Mesir ini, ada suara kebimbangan amat sangat dari rejim Israel di Tel Aviv. Dalam satu temu ramahnya dengan CNN, bekas duta Isreal di Mesir, Eli Shaked memberitahu bahawa jika Hosni Mubarak digulingkan, dikhatirinya kumpulan Islam akan berkuasa dan akan bersikap keras terhadap Israel dan dunia Barat.

Sementara itu, dijangkakan lebih sejuta orang akan menyertai lagi tunjuk perasaan di Tahrir Square (Medan Kebebasan) di Kaherah dan beberapa tempat lain di mesir dalam beberapa jam lagi untuk menuntut rejim Hosni Mubarak meletak jawatan segera.

Kumpulan yang menggelar diri mereka ‘Gerakan 6 April’ merancang mengadakan demonstrasi lebih sejuta rakyat di tengah-tengah kebencian rakyat terhadap rejim Hosni Mubarak.

Para penunjuk perasaan yang masih bertahan di medan tersebut tidak pedulikan perintah berkurung yang dikeluarkan oleh tentera. “Kami akan kekal di sini dan akan memperkukuh gerakan kami serta kami tidak akan berganjak dari sini,” kata penunjuk perasaan yang dirakam oleh TV Aljazeera.

Chanel tersebut kemudiannya telah ditutup oleh rejim Mubarak. Enam wartawan dan jurugambarnya ditahan.

Di antara yang menyertai tunjuk perasaam itu ialah para hakim dan majistret, para doktor dan jurutera, pegawai kerajaan dan swasta serta penulis. Diberitakan, lebih seratus orang telah terbunuh dan cedera. Semua komunilkasi dengan Mesir telah terputus.

Penunjuk perasaan menolak jaminan Hosni Mubarak untuk melaksanaskan pembaharuan ekonomi dan politik. Jaminan itu, menurut mereka, terlalu kecil dan sudah terlamba

Rabu, 15 Disember 2010

Hijrah: Menegarakan Islam, Mengislamkan Negara

Hijrah: Menegarakan Islam, Mengislamkan Negara

‘Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul..’

Ketika Khalifah Saidina Umar al-Khattab mengira-ngira untuk membuat satu tanda jelas bagi orang Islam tentang kalendar, banyak peristiwa penting yang boleh dijadikan batutanda itu. Peristiwa kelahiran Nabi SAW, Isra’ Mikraj, Hijrah, pelbagai peperangan yang berlaku sepanjang sejarah semuanya penting. Namun dari semua peristiwa penting itu, akhirnya Umar al-Khattab memilih peristiwa hijrah. Mengapa hijrah? Tentunya ada perkara istimewa dan kelainan berbanding dengan peristiwa-peristiwa lain.

Sebelum hijrah, Nabi SAW adalah Nabi. Demikian juga selepas hijrah. Tetapi selepas hijrah, Nabi bukan sahaja kekal sebagai Nabi, pangkat yang diberi oleh Allah tetapi juga menjadi ketua sebuah negara. Walaupun Madinah kecil sahaja di waktu itu-kecil dari segi geografi, kecil dari segi bilangan penduduk dan kecil dari segi kuasa berbanding kuasa-kuasa besar yang sudah sedia ada ketika itu-Parsi dan Rom, namun Madinah menepati ciri-ciri sebuah negara menurut sains politiknya. Ada tanah dan bumi, ada pemimpin, ada rakyat, ada perlembagaan dan ciri-ciri lain.

Hijrah menjadi batas sempadan di antara tempoh Mekah dan tempoh Madinah. Ayat-ayat al-Quran berbeza dari segi uslub dan perintah-perintahnya. Justru, peristiwa hijrah ini sangat penting untuk dihayati oleh umat Islam agar maksud sebenar dari hijrah ini tercapai.

Latar belakang Hijrah

Nabi menyeru kepada Islam

Semenjak berada di Mekah. wahyu sudah mulai turun. Muhammad telah diangkat dan dilantik menjadi Nabi dan Rasul. Bermula dari seorang diri, Baginda mula menyebarkan Islam di kalangan keluarganya yang hampir, sahabat yang rapat dengannya agar mudah diterima. Ia berkembang sedikit demi sedikit. Begitu juga dari segi uslub dakwah, dari sembunyi hinggalah terang-terangan.

2.Para Sahabat ditindas, dizalimi hanya kerana menyatakan ‘Kami beriman kepada Allah’

Dengan sebab dakwah yang mula diterima dari kalangan penduduk Mekah, respon yang diberi oleh pembesar Quraisy adalah sangat keras. Para Sahabat ditindas, disiksa, ditekan dan diperlakukan pelbagai kezaliman. Contoh-contohnya cukup banyak. Cukup bagi kita melihat seperti Bilal bin Rabah yang disiksa begitu rupa dengan sebab hanya beriman kepada Allah, begitu juga Ammar bin Yasir dan lain-lain.

Diizin berhijrah ke Habsyah

Kezaliman dan penindasan yang dahsyat menyebabkan para Sahabat dibenarkan berhijrah ke Habsyah buat sementara waktu, sehingga tempoh untuk kembali ke Mekah selepas suasana yang sedikit mengizinkan. Bumi Habsyah hanya transit sementara, untuk perlindungan, bukan bumi sebenar menegakkan Islam dalam bentuk negara. Suasana dakwah di Mekah berlangsung sedemikian rupa selama 13 tahun. Yang didengar oleh telinga para Sahabat hanyalah ‘sabar, sabar’ hingga Allah menentukan masa dan ketika yang sesuai untuk ditegakkan Islam itu dalam bentuk pemerintahan negara.

Pemimpin Quraisy bersidang dan ambil keputusan di Darul Nadwah

Sampai waktunya Nabi memberi khabar gembira kepada para Sahabat:. Nabi bersabda, maksudnya: ‘Aku diberitahu tempat hijrah kamu iaitu Yathrib. Sesiapa yang mahu keluar, maka keluarlah ke sana.’ Para Sahabat mula mengatur langkah menuju Yathrib. Ia berlaku selepas Baiah Aqabah 1 dan 2 di antara Nabi SAW dan penduduk Yathrib yang datang mengerjakan haji. Nabi SAW menawarkan Islam kepada mereka sehingga kemudiannya berlaku Baiah Aqabah 1dan 2 itu dalam musim-musim haji. Melihat kepada perkembangan Islam yang sudah berlaku outreach di Yathrib, iaitu pengaruh yang sudah berkembang hingga ke luar Mekah, maka para pemimpin Quraisy bermesyuarat di Darul Nadwah mahu mengambil keputusan apa yang sepatutnya dibuat terhadap Nabi SAW. Dari cadangan-cadangan yang diberi, akhirnya keputusan yang dicapai ialah Nabi Muhammad SAW, Al-Amin itu mesti dibunuh. Inilah kemuncak kepada sebuah perjuangan hingga melibatkan risiko nyawa melayang.

Dengan demikian, Nabi SAW berhijrah bersama Saidina Abu Bakar as-Siddiq ra sehingga akhirnya tiba ke Yathrib di awal bulan Rabi al-Awwal Tahun pertama Hijrah.

Dalam hijrah ini pelbagai pengajaran yang kita boleh petik. Saya rumuskan melalui 5P seperti berikut:

Iktibar (5P)

Penuh strategi

Nabi SAW membuat persediaan mencari tapak sesuai sebelum berhijrah. Yathrib bukan sahaja tapaknya sesuai bahkan penduduknya juga sudah bersedia menerima dan mempertahankan Baginda SAW. sebagai tapak tegaknya Islam. Untuk itu Baiah Aqabah 1dan Baiah Aqabah 2 menjadi tahap penting dalam dakwah Nabi. Bagi merealisasikan Baiah Aqabah supaya berjaya dan tidak bocor, penduduk Yathrib mengerjakan haji seperti orang lain di musim haji, tetapi bangun di tengah malam di Mina ketika semua yang lain masih tidur untuk berbaiah dengan Baginda SAW.

Selepas Nabi mendapat tahu tentang perancangan Quraisy mahu membunuhnya, Baginda SAW pergi ke rumah Abu Bakar di waktu tengahari dan selepas menerima perintah Allah untuk berhijrah. Waktu tengahari dipilih kerana ketika itu masing-masing sedang berihat di rumah agar perancangan Baginda tidak disedari.

Begitu juga perancangan yang dibuat oleh Saidina Abu Bakar selepas Nabi menyampaikan berita untuk berhijrah itu. Dikaderkan anak-anaknya untuk Islam. Asma menyediakan makanan, Abdullah ditugaskan mendengar khabar di pasar lalu membawa khabar berita itu kepada Nabi di Gua Thur nanti, Amir bin Fuhairah ditugaskan membawa kambing ke Gua Thur untuk didapatkan susunya dan dihilangkan kesan tapak kaki.

Sebagai usaha melambat-lambatkan dan mengelirukan pemuda Quraisy, Nabi SAW meminta Saidina Ali menggantikan Baginda di tempat tidur.

Nabi sendiri tinggal di Gua Thur selama 3 hari bersama Abu Bakar bagi memastikan misi ke Yathrib selamat. Nabi juga melalui jalan yang tidak biasa dilalui ke Yathrib agar perjalanan tidak dikesan musuh.

Semua ini menggambarkan kepada kita betapa strategi dalam menegakkan Islam itu mesti diberikan keutamaan. Bahkan secara umum, ia memberi panduan kepada semua bentuk pengurusan agar perancangan berstrategi itu diambil perhatian. Buatlah Plan A atau Plan B, usaha dan ikhtiar dari manusia, namun tawakkal dan pergantungan mesti tekad kepada Allah.

Pengorbanan

Apa yang diberi oleh para Sahabat selama di Mekah hingga bersedia berhijrah ke Yathrib ialah kerana mereka mengutamakan Islam, kehendak Allah yang mendahului kehendak diri dan peribadi. Pengorbanan para Sahabat sepanjang tempoh dakwah di Mekah bukan calang-calang. Dalam persitiwa hijrah, para sahabat bersedia meninggalkan rumahtangga, kampung halaman, harta benda kerana semata-mata menyelamatkan Islam. Kalau Islam selamat, yang lain selamat. Kalau yang lain selamat, belum tentu Islam selamat.

Pengorbanan dari Abu Bakar sepanjang peristiwa hijrah juga menjadi contoh hebat. Memasuki Gua Thur terlebih dahulu bagi memastikan keadaan selamat buat Nabi SAW, sanggup kakinya ditahan kesakitan akibat bisa binatang kerana tidak mahu mengganggu Nabi yang baring diribanya. Begitu juga Ali bin Abi Talib yang mengambil risiko besar menggantikan Nabi SAW di tempat tidur. Nyawa menjadi pertaruhan untuk sebuah perjuangan.

Persaudaraan

Bagi menegakkan pemerintahan Islam, faktor-faktor yang membantu ke arah perkara itu mesti dilakukan. Tidak mungkin Islam boleh ditegakkan jika mereka yang menegakkan Islam itu bersengketa. Tindakan Nabi SAW mempersaudarakan Aus dan Khazraj menjadi golongan Ansar adalah tindakan bijak seorang pemimpin. Aus dan Khazraj yang berperang sesama sendiri begitu lama akhirnya menjadi seperti saudara karib. Bukan mudah menyatukan mereka yang sudah berperang begitu lama. Tali persaudaraan bukannya atas dasar Arab tetapi islam. Nasionalisme sempit tiada dalam kamus Islam. Bentuk persaudaran diluaskan hingga Muhajirin dan Ansar juga dipersaudarakan. Bentuk persaudaraan ini diakui Islam sehingga di peringkat awalnya masing-masing boleh mewarisi dari saudara seislamnya yang lain hingga dibatalkan hukum itu.

Positif dan pro-aktif

Sikap umat Islam mesti positif dan pro-aktif. Ia ditunjuk oleh Nabi SAW dalam persitiwa hijrah ini. Apabila mengetahui orang Musyrikin mahu membunuhnya, terus Baginda bertindak menemui Abu Bakar dan menyiapkan perkara yang sepatutnya.

Nabi SAW sentiasa memandang masa depan Islam yang cemerlang. Dalam apa suasana sekalipun, Baginda tetap optimis dan positif terhadap Islam. Inilah sifat seorang pemimpin yang mesti diikuti oleh pengikutnya. Dalam persitiwa hijrah, ketika hanya Nabi dan Abu Bakar berada di dalam Gua Thur-tiada PBB, tiada OIC, tiada negara dan bala tentera islam yang boleh membantu, Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar ‘Apa sangkaan kamu dengan 2 orang, Allah yang ketiga’, suatu tarbiyyah, keyakinan dan keimanan yang jitu diletakkan dalam dada Abu Bakar. Ketika Suraqah yang mengejar Nabi dari belakang mulai takut dengan kaki kudanya yang sentiasa tenggelam dalam pasir itu meminta keamanan dari Nabi SAW, Baginda berjanji kepada Suraqah untuk diberikan gelang Raja Kisra. Satu janji yang melihat masadepan yang gemilang buat Islam walaupun negara Islam itu belum kelihatan di depan mata.

Perpindahan

Hijrah wajib di awal Islam. Namun ia berubah selepas itu: ‘Tiada hijrah selepas pembukaan Mekah tetapi jihad dan niat (yang benar)’ , ‘Jihad berterusan hingga ke hari Qiamat’

Perpindahan yang mesti berlaku di kalangan orang Islam ialah berhijrah dari perkara yang dilarang Allah ‘Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan perkara yang dilarang Allah’. Bagi seorang mukmin, falsafah hidupnya ialah hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini dan hari-hario muka lebih baik dari hari sebelumnya.

Berpindahnya Nabi SAW dari Mekah ke Madinah ialah bagi menegakkan Islam dalam bentuk syumul-peribadi, keluarga, masyarakat dan negara. Ia bukan hijrah dari satu tempat ke satu tempat sahaja. Hijrah membawa misi dan visi yang sangat hebat. Kalau di tahun 2009 lepas, PM pernah menyebut Hijrah menepati konsep 1Malaysia, maka ia adalah omong kosong yang jauh dari falsafah, konsep dan realitinya.

Dalam konteks semasa, kita menyambut tahun 1432H dalam keadaan loceng amaran PRU13 sudah dibunyikan, hanya menunggu gendang perangnya sahaja belum diketuk. Hijrah memberi semangat kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk mengukuhkan konsep 5P di atas, agar berjaya dalam PRU 13 sehingga menang setelah P iaitu parti diperkuatkan, mengekal dan menambah kerusi serta menguasai dua tempat P iaitu Putrajaya dan Parlimen.

Penulis adalah Ketua Lajnah Ulama Pelapis Dewan Ulama PAS Terengganu.


Rabu, 4 Ogos 2010

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=27799:pelarian-rohingya-perlu-bantuan-segera&catid=94:global2&Itemid=135

PELARIAN UMAT ISLAM ROHINGYA PERLU PEMBELAAN

Keadaan umat Islam Rohingya yang berada di Kutupalong, Bangladesh kini amat menyedihkan apabila khemah-khemah dan pondok-pondok tempat mereka berlindung kini musnah dilanda banjir dan ribut teruk. Citizen International dan SHURA kini mengambil inisiatif untuk mengumpul dana untuk membantu 11,000 keluarga di sana.

Kini mereka memerlukan bantuan sebanyak RM100 untuk kegunaan sebuah keluarga dan mampu menanggung kos kebajikan dan kehidupan selama 3 bulan.

Banjir dan ribut yang melanda berlaku selama beberapa jam sebanyak 24.2 sentimeter (9.5 inci) dan melanda di banyak tempat di Bangladesh.

Kawasan yang paling buruk dilanda ribut ini adalah di Teknaf yang meletakkan kem-kem pelarian Kutupalong.

Bangladesh mengiktiraf seramai 28,000 Rohingya sebagai pelarian yang berdaftar dan mereka ini menerima bantuan secara rasmi di kem-kem UN di Kutupalong. Bilangan ini hanyalah pecahan daripada jumlah besar 300,000 orang pelarian yang tidak diiktiraf berdasarkan anggaran kerajaan Bangladesh.

Di Bangladesh ketika ini ada persamaan dengan kes di Gaza iaitu segala bahan bantuan disekat masuk. Kaum Rohingya merupakan populasi muslim terbesar, sekitar 3.5 juta orang di Myanmar yang kebanyakannya tinggal di Rakhine, salah sebuah negeri di Myanmar yang berkongsi sempadan dengan Bangladesh.

Mereka menjadi pelarian di Bangladesh, Pakistan, Thailand, Malaysia dan negara lain sejak lebih 50 tahun dahulu akibat penindasan dan penganiayaan pemerintahan Burma dan penganut Buddha ke atas mereka.

Di Kutupalong, 185 batu (296 kilometer) selatan Dhaka, kini direkodkan Rohingya tinggal di pondok-pondok buruk, di mana mereka mengalami kekurangan gizi, anak-anak hanya berkaki ayam serta membuang najis di merata-rata tempat.

Manakala di Kem pelarian Kutupalong UN pula ia dilengkapi dengan kemudahan perubatan, pusat pembelajaran komputer, gelanggang bola tampar dan janakuasa elektrik.

Namun, nasib malang yang menimpa lebih 200,000 Rohingya yang hingga kini tidak diberi status pelarian oleh Bangladesh dan hidup di bawah ancaman. Mereka seringkali akan ditangkap atau dihantar kembali ke Myanmar. Sebahagian bekerja sebagai buruh harian atau penarik beca di Cox's Bazar.

Bangladesh hanya bersedia untuk bekerjasama dengan PBB untuk memberikan akses dan perlindungan terhadap 28,000 pelarian Rohingya di kedua-dua kem rasmi.

Namun pemimpin Bangladesh menolak untuk membincangkan tentang baki yang terpaksa tinggal di Bangladesh secara haram.

Bangladesh adalah antara negara yang tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokolnya pada 1967. Hal ini sama dengan kerajaan Malaysia. Namun keadaan Rohingya di Malaysia jauh lebih selesa berbanding dengan keadaan mereka di Bangladesh.

Pelarian Rohingya tidak inginkan kemewahan seumpama di Malaysia. Mereka hanya inginkan tempat untuk tinggal sementara, bercucuk tanam dan membesarkan anak mereka jauh dari kekejaman Junta Komunis Burma. Malangnya, bukan sekadar mereka diusir dari Bangladesh, malah terdapat banyak kes rogol, pencabulan, pukul dan bunuh yang dilakukan oleh penguatkuasa Bangladesh yang mengambil kesempatan terhadap umat Islam seaqidah dengan mereka!

Pada awal Mac 2007 kerajaan Bangladesh pernah menghancurkan sebahagian besar tempat perlindungan pelarian yang disebut "Tal" yang menempatkan lebih dari 6,000 pelarian Rohingya di Teknaf, selatan Cox's Bazaar, berhampiran sempadan dengan Burma. Tidak ada tempat penampungan alternatif yang disediakan bagi insan-insan yang malang ini. Kini dilaporkan sebahagian besar mereka hanya tidur seperti kucing kurap di bawah cuaca panas mahpun hujan tanpa bumbung untuk perlindungan asasi!

Salahlaku yang dilakukan oleh badan-badan penguatkuasaan undang-undang Bangladesh dilaporkan tersebar luas di dalam dan sekitar kem pelarian Rohingya, termasuk laporan penderaan seksual terhadap perempuan.

Pihak berkuasa Bangladesh kini juga menolak untuk membenarkan pembinaan bangunan kekal yang akan dibina di kem-kem kerana ingin mendorong para pelarian untuk kembali ke Myanmar.

Citizen International melalui koordinator kempen kemanusiaan Rohingya iaitu Cikgu Azmi Hamid kini giat mengumpul dana untuk menyediakan khemah dan bantuan asasi kepada 11,000 keluarga di sana dan dijangka mampu disalurkan sebelum Ramadhan tahun ini.

Perlu ditegaskan bahawa United Nation hanya memberi tumpuan kepada Rohingya yang berdaftar sahaja, bukan kepada kesemua pelarian yang ditakrifkan oleh Konvensyen Pelarian 1951.

Kepada mereka yang berminat untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan ini boleh berbuat demikian melalui akaun Teras iaitu BIMB 02020010021351, atau menghubungi 019-4744856 (Cikgu Azmi Hamid).

Muhammad Nuruddin Bashah