Memaparkan catatan dengan label harakahdaily. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label harakahdaily. Papar semua catatan

Rabu, 4 Ogos 2010

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=27799:pelarian-rohingya-perlu-bantuan-segera&catid=94:global2&Itemid=135

PELARIAN UMAT ISLAM ROHINGYA PERLU PEMBELAAN

Keadaan umat Islam Rohingya yang berada di Kutupalong, Bangladesh kini amat menyedihkan apabila khemah-khemah dan pondok-pondok tempat mereka berlindung kini musnah dilanda banjir dan ribut teruk. Citizen International dan SHURA kini mengambil inisiatif untuk mengumpul dana untuk membantu 11,000 keluarga di sana.

Kini mereka memerlukan bantuan sebanyak RM100 untuk kegunaan sebuah keluarga dan mampu menanggung kos kebajikan dan kehidupan selama 3 bulan.

Banjir dan ribut yang melanda berlaku selama beberapa jam sebanyak 24.2 sentimeter (9.5 inci) dan melanda di banyak tempat di Bangladesh.

Kawasan yang paling buruk dilanda ribut ini adalah di Teknaf yang meletakkan kem-kem pelarian Kutupalong.

Bangladesh mengiktiraf seramai 28,000 Rohingya sebagai pelarian yang berdaftar dan mereka ini menerima bantuan secara rasmi di kem-kem UN di Kutupalong. Bilangan ini hanyalah pecahan daripada jumlah besar 300,000 orang pelarian yang tidak diiktiraf berdasarkan anggaran kerajaan Bangladesh.

Di Bangladesh ketika ini ada persamaan dengan kes di Gaza iaitu segala bahan bantuan disekat masuk. Kaum Rohingya merupakan populasi muslim terbesar, sekitar 3.5 juta orang di Myanmar yang kebanyakannya tinggal di Rakhine, salah sebuah negeri di Myanmar yang berkongsi sempadan dengan Bangladesh.

Mereka menjadi pelarian di Bangladesh, Pakistan, Thailand, Malaysia dan negara lain sejak lebih 50 tahun dahulu akibat penindasan dan penganiayaan pemerintahan Burma dan penganut Buddha ke atas mereka.

Di Kutupalong, 185 batu (296 kilometer) selatan Dhaka, kini direkodkan Rohingya tinggal di pondok-pondok buruk, di mana mereka mengalami kekurangan gizi, anak-anak hanya berkaki ayam serta membuang najis di merata-rata tempat.

Manakala di Kem pelarian Kutupalong UN pula ia dilengkapi dengan kemudahan perubatan, pusat pembelajaran komputer, gelanggang bola tampar dan janakuasa elektrik.

Namun, nasib malang yang menimpa lebih 200,000 Rohingya yang hingga kini tidak diberi status pelarian oleh Bangladesh dan hidup di bawah ancaman. Mereka seringkali akan ditangkap atau dihantar kembali ke Myanmar. Sebahagian bekerja sebagai buruh harian atau penarik beca di Cox's Bazar.

Bangladesh hanya bersedia untuk bekerjasama dengan PBB untuk memberikan akses dan perlindungan terhadap 28,000 pelarian Rohingya di kedua-dua kem rasmi.

Namun pemimpin Bangladesh menolak untuk membincangkan tentang baki yang terpaksa tinggal di Bangladesh secara haram.

Bangladesh adalah antara negara yang tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokolnya pada 1967. Hal ini sama dengan kerajaan Malaysia. Namun keadaan Rohingya di Malaysia jauh lebih selesa berbanding dengan keadaan mereka di Bangladesh.

Pelarian Rohingya tidak inginkan kemewahan seumpama di Malaysia. Mereka hanya inginkan tempat untuk tinggal sementara, bercucuk tanam dan membesarkan anak mereka jauh dari kekejaman Junta Komunis Burma. Malangnya, bukan sekadar mereka diusir dari Bangladesh, malah terdapat banyak kes rogol, pencabulan, pukul dan bunuh yang dilakukan oleh penguatkuasa Bangladesh yang mengambil kesempatan terhadap umat Islam seaqidah dengan mereka!

Pada awal Mac 2007 kerajaan Bangladesh pernah menghancurkan sebahagian besar tempat perlindungan pelarian yang disebut "Tal" yang menempatkan lebih dari 6,000 pelarian Rohingya di Teknaf, selatan Cox's Bazaar, berhampiran sempadan dengan Burma. Tidak ada tempat penampungan alternatif yang disediakan bagi insan-insan yang malang ini. Kini dilaporkan sebahagian besar mereka hanya tidur seperti kucing kurap di bawah cuaca panas mahpun hujan tanpa bumbung untuk perlindungan asasi!

Salahlaku yang dilakukan oleh badan-badan penguatkuasaan undang-undang Bangladesh dilaporkan tersebar luas di dalam dan sekitar kem pelarian Rohingya, termasuk laporan penderaan seksual terhadap perempuan.

Pihak berkuasa Bangladesh kini juga menolak untuk membenarkan pembinaan bangunan kekal yang akan dibina di kem-kem kerana ingin mendorong para pelarian untuk kembali ke Myanmar.

Citizen International melalui koordinator kempen kemanusiaan Rohingya iaitu Cikgu Azmi Hamid kini giat mengumpul dana untuk menyediakan khemah dan bantuan asasi kepada 11,000 keluarga di sana dan dijangka mampu disalurkan sebelum Ramadhan tahun ini.

Perlu ditegaskan bahawa United Nation hanya memberi tumpuan kepada Rohingya yang berdaftar sahaja, bukan kepada kesemua pelarian yang ditakrifkan oleh Konvensyen Pelarian 1951.

Kepada mereka yang berminat untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan ini boleh berbuat demikian melalui akaun Teras iaitu BIMB 02020010021351, atau menghubungi 019-4744856 (Cikgu Azmi Hamid).

Muhammad Nuruddin Bashah

Ahad, 11 April 2010

Perkembangan politik Islam sepanjang 2009

Perkembangan dunia Islam terus menjadi berita-berita utama antarabangsa, memberi kesan kepada politik serantau dan global, bermula dengan serangan Israel ke atas Gaza pada Disember 2008 sehingga Januari 2009, kepada konflik di Yaman yang semakin merebak ke seluruh wilayah negara itu dan jiran. Berikut 10 berita dan pemain utama dalam dunia Islam, yang memberi kesan besar kepada negara terbabit, dunia Islam secara keseluruhan dan politik dunia.
1. Serangan terhadap Gaza, Palestin

Dunia Islam memulakan tahun 2009 dengan menyaksikan konflik di Gaza, perang mempertemukan kekuatan tidak seimbang tentera Israel dengan Hamas dan kumpulan-kumpulan lain di wilayah Palestin dikuasai Hamas ini. Perang bermula pada Disember 2008. Awal 2009, Israel memulakan serangan darat selepas seminggu serangan udara. Perang berakhir pada 18 Januari, dua hari sebelum presiden baharu Amerika Syarikat, Barack Obama mengangkat sumpah. Hampir 1,500 warga Palestin dilaporkan terbunuh, dengan kemusnahan hampir AS$2 bilion. Israel turut menyerang masjid, sekolah dan tempat-tempat awam, membunuh semua termasuk kanak-kanak. Tidak lama selepas perang, Israel memilih sebuah kerajaan dikuasai parti berhaluan kanan. Demonstrasi diadakan di seluruh dunia membantah tindakan Israel. Reaksi di dunia Islam termasuk boikot terhadap jenama AS dan Barat seperti McDonald's, Tesco, Starbucks, KFC dan pelbagai produk konsumer lain.

2. Dasar luar baharu Turki

Negara yang sedang menggerakkan dasar luar baharu, Turki, bertindak pragmatik dalam menangani isu Gaza melalui satu tindakan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan dalam forum di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, menaikkan imej Turki ketika dunia Arab dilihat gagal bertindak. Di bawah arkitek dasar luar baharu Ahmet Davutoglu, akademik hubungan antarabangsa berpengalaman luas, Turki mengaktifkan usaha baharu membina hubungan baik dengan negara-negara jiran termasuk Armenia dan Syria dan cuba membina ruang pengaruh, berdasarkan fahaman pan-Turkisme atau apa yang disifatkan pemerhati sebagai perspektif "neo-Uthmaniyah" Ahmet. Ahmet, yang pengalamannya termasuk mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Beykent Istanbul, disebut sebagai "Henry Kissinger Turki" yang kini menjadi tokoh penting parti pemerintah, AKP.

3. Konflik Yaman

Menjelang Ramadan tahun lalu, Yaman menyaksikan bermulanya konflik melibatkan kerajaan pimpinan Presiden Ali Abdullah Saleh dengan pemberontak Houthi di utara. Kini, setelah tiba bulan Muharram 1431, konflik di Yaman semakin meluas dan meningkat dari segi intensitinya, apabila AS mula terlibat dalam serangan terhadap kumpulan al-Qaeda di negara ini, kumpulan dikenali sebagai al-Qaeda di Semenanjung Arab (al-Qaeda in the Arabian Peninsula, AQAP) menggabungkan al-Qaeda Yaman dengan Arab Saudi. Negara dilanda masalah sumber air dan hidrokarbon ini juga berdepan kebangkitan kumpulan pemisah Marxist di selatan. Penglibatan Saudi menyerang Houthi juga menambahkan kerumitan konflik ini, yang kini telah menyebabkan lebih 170,000 menjadi pelarian di dalam negara. Peranan Iran dan Saudi memperlihatkan dimensi persaingan kuasa serantau dalam konflik ini.

4. Pilihan raya presiden dan isu nuklear Iran

Iran mengadakan pilihan raya presiden pada 12 Jun lalu, dengan keputusan penyandang Mahmoud Ahmadinejad mengekalkan jawatan. Walau bagaimanapun, keputusan ini ditentang hebat Mir Hossein Mousavi dan ribuan penyokongnya, menggegarkan republik Islam yang berpandukan kepada ide Wilayatul Faqih yang menetapkan kuasa kepada para ulama. Kebangkitan digelar "revolusi hijau" oleh kem Mir Hossein mendapat kredibiliti dan imej yang positif bagi sesetengah pihak kerana warna hijau yang digunakan - yang dikaitkan dengan Islam dan Nabi Muhammad saw - sebagai simbol gerakan menentang pemerintah Iran. Pemerintah Iran masih berdepan cabaran getir penentangan ini, yang mendapatkan simpati apabila Ayatullah Hossein Ali Montazeri meninggal dunia pada 20 Disember lalu. Pada masa yang sama, Iran terus berdepan cabaran berhubung isu nuklearnya apabila sikap kerajaan baharu AS tidak berubah walaupun sedia berunding.

5. Afghanistan-Pakistan dan Taliban

Afghanistan dan Pakistan ditangani sebagai satu oleh sebahagian besar komuniti dasar luar AS, ekoran hubungan rapat kumpulan Taliban di kedua-dua negara dan kaitan rapat geografi kedua-dua negara dalam konflik di Afghanistan. Afghanistan kini menjadi satu agenda dasar luar penting bagi Obama, yang meluluskan 30,000 anggota tentera untuk dihantar ke negara ini. AS kini mempunyai kehadiran yang besar di Asia Tengah. Pada masa sama, Presiden hamid Karzai baharu melengkapkan anggota kabinetnya, yang dikritik ramai sebagai tidak memenuhi janji memerangi korupsi dan pada masa sama memberikan kuasa kepada pihak-pihak tidak sepatutnya. Kedatangan lebih ramai tentera AS dan pemerintahan Hamid yang tidak bersih dan bebas bakal meneruskan ketidaktentuan di Afghanistan. Kedatangan lebih ramai anggota tentera mampu meningkatkan lagi konflik dengan kumpulan militan.

6. Lanun dan kehadiran kuasa asing di Somalia

Penculikan dan rampasan kapal oleh lanun Somalia yang mula berleluasa pada 2008 terus berlaku pada 2009, dan menarik kedatangan tentera-tentera laut asing termasuk Jepun dan Rusia, menjadikan kawasan perairan Somalia yang strategik itu semakin tegang. Kawasan Teluk Aden bersempadan Laut Merah - dihubungkan laluan sempit Bab al-Mandeeb di tengah-tengah antara Djibouti dan Eritrea dengan Yaman - ialah satu laluan penting dalam perdagangan antarabangsa. AS juga menjalankan operasi pesawat tanpa juruterbang di kawasan perairan ini. Kawasan ini terletak tidak jauh daripada Yaman, satu lagi kawasan panas yang menjadi salah satu sumber senjata bagi lanun Somalia. Selain itu, tentera AS dan Iran juga meningkatkan kehadiran di kawasan perairan ini, mengaitkannya dengan isu lanun dan juga ketidakstabilan di Tanduk Afrika dan Yaman.

7. Pilihan raya Lubnan

Lubnan menjadi medan persaingan kuasa-kuasa asing sejak sekian lama, dan pilihan raya pada 7 Jun 2009 menunjukkan realiti ini kekal dalam permainan politik Lubnan. Kumpulan 14 Mac yang pro-Barat memenangi 71 daripada 128 kerusi, yang dibahagikan kepada 64 untuk Muslim dan 64 Kristian, susunan diwarisi daripada penjajahan Barat yang memberi kelebihan kepada Kristian. Saad Hariri dan kumpulan 14 Mac mendapat sokongan kuat AS, Arab Saudi dan Mesir, manakala Hizbullah dan Amal disokong Iran dan Syria. Kumpulan diketuai Hizbullah yang disebut-sebut akan menang tidak berjaya merealisasikan jangkaan itu, tetapi Lubnan meneruskan penubuhan kerajaan perpaduan seperti yang dilaksanakan penggal lepas, proses yang hanya selesai beberapa minggu lalu, dengan Saad mengetuai kerajaan baharu.

8. Uyghur di Xinjiang

Wilayah Xinjiang menyaksikan kebangkitan rakyat berketurunan Uyghur memprotes layanan buruk kerajaan China dan dominasi kaum Cina han di wilayah tersebut. Di sini dapat diperhatikan perana Turki menggerakan kaum Uyghur daripada rumpun bangsa Turki sebagai sebahagian agendanya meluaskan ruang pengaruh. Ankara dan Beijing bertikam lidah dalam hal ini, dengan Turki berperanan sebagai pembela nasib Uyghur ketika China dilihat di seluruh dunia sebagai penindas. Dengan sokongan Turki dan AS, Rebiya Kader, tokoh Uyghur berpangkalan di Washington muncul sebagai ikon kaum tertindas ini, hampir menyamai peranan dimainkan Dalai Lama bagi Tibet. Perkembangan ini, yang berlanjutan selama beberapa bulan, menyumbang dalam menjadikan perjuangan Uyghur menuntut kebebasan dalam hal berkaitan agama dan budaya menjadi perhatian dunia Islam untuk satu tempoh.

9. Libya dan pembebasan Abdel Baset al-Megrahi

Abdel Baset al-Megrahi, disabit bersalah dalam pembunuhan 270 orang akibat pengeboman pesawat AS, Pan Am 103 di ruang udara Lockerbia, Scotland pada 21 Disember, 1988. Beliau dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Negaranya, Libya, menjadi tumpuan negara-negara Barat terbabit dan diletakkan sebagai satu musuh utama untuk satu tempoh yang panjang. Pada 20 Ogos lalu, beliau dibebaskan atas dasar kemanusiaan kerana dinilai doktor menghidap kanser prostat dan hanya akan hidup kurang tiga bulan lagi. Satu debat politik antarabangsa berlangsung ekoran tindakan kerajaan Scotland ini. Abdel Baset masih berusaha membersihkan namanya daripada tuduhan terlibat dalam pengeboman itu. Keadaan sekitar pembebasan Abdel Baset mengundang pelbagai spekulasi berhubung rundingan pembebasan beliau melibatkan kerajaan terbabit.

10. Islamofobia di Eropah

Di Dresden, timur Jerman, pada 11 November lalu, Alexander Wiens, pembunuh Marwa al-Sherbini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Wiens disabit membunuh Marwa akibat prejudisnya terhadap wanita Muslim berasal Mesir itu. Beberapa minggu lalu, di Switzerland, usaha mengharamkan menara masjid di negara itu mendapat sokongan 57 peratus pengundi negara Eropah itu. Sentimen itu sampai ke Belanda dan Jerman, apabila ahli-ahli politik berhaluan kanan di sana melahirkan sentimen yang sama. Sebelum itu, di Cologne, Jerman dan di utara London, Inggeris, protes terhadap masjid telah berlaku, memperlihatkan sentimen yang semakin disuarakan di Eropah, walaupun tidak kelihatan mendapat sokongan popular. Perkembangan ini menimbulkan persoalan tentang potensi ancaman kepada kepelbagaian budaya dan kebebasan beragama di Eropah.

Selasa, 6 April 2010

Kejayaan 22 tahun perjuangan Hamas




Gerakan Islam Hamas kini mencecah usia 22 tahun berjuang membebaskan Palestin daripada penjajahan Yahudi Zionis, dan bertekad untuk meneruskan lagi perjuangan getir ini tanpa kompromi.

Pemimpin Hamas, Ismail Haniyah, menyatakan janji ini di depan puluhan ribu warga Palestin yang hadir di Semenanjung Gaza untuk menyambut ulangtahun penubuhan kumpulan ini.Ismail menegaskan, Hamas tidak akan mengiktiraf Israel dan akan terus berjuang, ketika ujian getir menimpa kumpulan ini yang terbukti menerima sokongan rakyat apabila menang besar dalam pilihan raya pada awal 2006.

Hamas melepasi ujian sejurus menang pilihan raya itu, yang menyaksikan tekanan-tekanan diberikan kepada kerajaan baharu dikuasai Hamas. Sebelum itu, jutaan dolar dihulurkan oleh Amerika Syarikat kepada Pihak Berkuasa Palestin dikuasai Fatah sebagai dana pilihan raya.

Barat tidak mahu melihat kumpulan Hamas menang dalam pilihan raya itu, menewaskan agennya, Fatah.Mahmoud Abbas daripada Fatah kini masih memegang jawatan presiden Palestin, tetapi bukan sebuah negara seperti yang difahami ramai, cuma autoriti yang diiktiraf Barat sebagai mewakili Palestin.Bukan itu sahaja, pengundi-pengundi di kawasan Baitulmaqdis Timur dihalang mengundi kecuali beberapa kerat, dan yang lain menghadapi cabaran merentasi kawalan Israel untuk mengundi.

Selepas Hamas menang, penyokong kuat Israel, pentadbiran George W Bush tetap enggan menghormati kejayaan besar Hamas mengaut 76 kerusi parlimen, apabila mengugut untuk membatalkan bantuan sebanyak AS$400 juta setahun kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).Manakala Kesatuan Eropah walaupun meneruskan bantuan tahunan sebanyak AS$606 juta, terus mendesak Hamas menghentikan perjuangan bersenjata dan mengiktiraf Israel.Hanya Hamas dan Palestin didesak menerima syarat-syarat tidak masuk akal itu, sedangkan Zionis yang datang menjajah, membina penempatan haram yang mempunyai kemudahan (tidak seperti penempatan rakyat Palestin), membunuh rakyat Palestin dan membina tembok penghalang diberi bantuan berterusan oleh Barat.Hal ini memberi pengajaran kepada gerakan-gerakan Islam seluruh dunia tentang sikap Barat terhadap mereka.

Gerakan Islam sebenar tidak akan mendapat restu dan penghormatan daripada pihak Barat.Kumpulan-kumpulan (atau tokoh-tokoh) yang diberi penghormatan Barat perlu diragui oleh ahli-ahli gerakan Islam, dan tidak melihatnya sebagai Barat akhirnya mengiktiraf kita.

Hamas secara konsisten menolak perjanjian-perjanjian damai tajaan AS seperti Perjanjian Oslo yang sangat berat sebelah dan tidak diwakili kumpulan yang paling dizalimi.Istilah-istilah seperti "penyelesaian dua negara" yang digambarkan sebagai mengiktiraf wilayah Palestin hanya cara lain untuk memecahkan wilayah asal Palestin dan memberikan bahagian yang terbaik kepada pihak Yahudi.Tidak seperti pemimpin kumpulan Fatah, pemimpin-pemimpin Hamas tidak diiktiraf malah diburu dan dibunuh.

Pada tahun 2004, dua orang pemimpin besar Hamas dibunuh Zionis. Syeikh Ahmad Yassin dibunuh pada 22 Mac 2004, dan kemudian Abdul Aziz al-Rantissi pada 17 April melalui serangan daripada helikopter bersenjata.

Syeikh Ahmad berjasa besar dalam menubuhkan Hamas, yang seperti juga PAS di Malaysia, mendapat pengaruh daripada Ikhwan al-Muslimin di Mesir. Walaupun secara rasmi tertubuh pada 1987, gerakan ini telah wujud lama sebelum Intifadah pertama itu. Dari sudut susur galurnya, Hamas boleh disifatkan sebagai sayap Ikhwan di Palestin.

Gerakan Islam perlu sentiasa ingat bahawa musuh tidak sekali-kali akan reda dengan perjuangan Islam, kecuali apabila perjuangan itu terpesong atau terpengaruh dengan agenda-agenda yang berlandaskan kepentingan lain yang tidak kena dengan perjuangan Islam.Apa yang berlaku kepada Hamas sejak penubuhannya, sehingga akhirnya menang pilihan raya dan berdepan serangan di Gaza menunjukkan istiqamah gerakan ini, yang tidak seperti Fatah, menerima pengiktirafan Barat dan pelbagai bantuan.

Kini, dunia melihat selepas hampir setahun konflik Gaza yang menunjukkan Hamas dan penduduk kawasan sempit itu hampir tidak berupaya melawan serangan Zionis, sokongan kepada Hamas tidak luntur, seperti juga prinsip perjuangan yang dipegang Hamas.Ismail dalam ucapannya itu menegaskan, "Kami tidak akan berundur memperjuangkan wilayah Palestin dari sungai hingga ke laut," merujuk kepada sempadan sebelum Inggeris menyerahkan tanah Palestin kepada Yahudi yang membolehkan Israel diwujudkan secara haram pada 1948.

Dalam tindakan-tindakan masyarakat antarabangsa yang dikuasai Barat, pernah disebut sempadan tahun 1967, kemudian sempadan 1973 sedangkan sempadan Palestin tahun 1948 perlu ditangani terlebih dahulu.Hamas sendiri, melalui seorang pemimpinnya Khalid Mashaal, menegaskan sejurus menang pilihan raya pada 2006, rundingan dengan Israel perlu terlebih dahulu menangani isu perdamaian dan bukan isu sempadan, yang kini telah jauh daripada sempadan 1967 yang pernah ditegaskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai had Israel perlu berundur.

Menurut Hamas, sempadan 1967 itu juga sudah merupakan sesuatu yang sangat tidak adil kepada rakyat Palestin. Kekejaman yang berlaku pada 1948 masih segar dalam ingatan ramai mangsanya yang masih hidup, dan masih jelas dalam rakaman sejarah.

Sikap istiqamah Hamas dan kejelasan prinsip perjuangan dan pemimpin-pemimpinnya membolehkan Hamas mendapat sokongan dan meraikan sambutan ulangtahun ke-22 dengan gemilang."Sepanjang 22 tahun penubuhannya, Hamas berjaya mencapai satu bahagian besar matlamatnya dan mengatasi setiap cabaran dihadapi, termasuk penjara, pembuangan, pembunuhan dan pilihan raya," kata seorang lagi pemimpinnya, Mahmoud Zahar.

Hamas kini terus membuktikan apa yang diucapkannya, mempertahankan prinsip perjuangan dalam menghadapi cabaran kalah dan menang, menjadi salah satu contoh utama kepada gerakan-gerakan Islam seluruh dunia.