Jumaat, 23 April 2010

Ikhwanul Muslimin Perintis Gerakan Islam dan Hassan al-Bana


Selepas Perang Dunia Yang Pertama, kumpulan yang berhaluan ke Barat bergerak begitu hebat sekali di Mesir. Kebangkitan nasionalisma di dunia Islam mencapai puncaknya dengan penggulingan sistem Khalifah Islam Othmaniah di Turki oleh Kamal Attarturk.

Sheikh Hassan Al Banna menubuhkan Jamaah Ikhwanul Muslimin adalah ekoran dari pemerhatian beliau terhadap kejahilan Ummat Islam terhadap Agama mereka. Ikhwanul Muslimin ditubuhkan dalam tahun 1928, sebaik sahaja beliau keluar dari Darul Ulum. Pemimpin-pemimpin Islam yang terkenal seperti Jamaluddin Al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan Sayyid Rashid Ridha' lebih mengutamakan penulisan dan dakwah dalam aktivitinya.




Di antara ciri yang menonjol bagi Harakah Ikhwanul Muslimin ialah penekanannya yang berterusan terhadap kepentingan JIHAD. Jihad yang diajar oleh Ikhwan ialah Jihad yang difahami oleh semua orang Islam iaitu Jihad yang tidak mempunyai sebarang unsur tolak ansur.


Bukannya konsep JIHAD yang direka-reka oleh Puak Modernist. Ikhwan menganggap bahawa ibadat dan amal soleh seseorang Islam itu sia-sia jika ia tidak bersedia untuk mengorbankan nyawanya demi untuk mempertahankan Agama Islamnya. Bersedia untuk mati tanpa mengharapkan sebarang balasan dunia melainkan semata-mata cintakan Allah dan hari Akhirat.

Al Ikhwanul Muslimin menaikkan semangat jihad dengan cara menggalakkan pemuda Islam melakukan latihan menguatkan tubuh badan untuk persediaan perang. Akhirnya mereka menubuhkan Unit tentera mereka sendiri untuk mempertahankan harakah apabila diperlukan. Sheikh Hassan al Banna berkali-kali mengajak orang kampung supaya berjihad menumpas penjajah British dan menghalau mereka selama-lamanya dari Mesir.




Di dalam peperangan Palestin pada tahun 1948, pasukan sukarelawan Ikhwan Muslimin adalah pasukan yang paling berani berperang di pihak Arab. Apabila Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf penubuhan negara Yahudi di Palestin, Sheikh Hassan al Banna menyeru semua negara Islam meninggalkan Bangsa-Bangsa Bersatu dan berjihad menentang Yahudi. Sheikh Hassan al Banna dan penyokongnya dengan terang-terang dan berani melaungkan bahawa Islam sajalah agama yang terbaik dan penyelesai kepada semua masalah yang dihadapi oleh Mesir.




Ikhwanul Muslimin tidak berpuas hati dengan undang-undang negara yang hanya meletakkan Islam sebagai Agama Negara. Mereka mendesak supaya undang-undang Islam dijalankan sepenuhnya di mana kerajaan dan rakyat tunduk kepada undang-undang Allah. Sheikh Hasan al Banna berkata dalam satu ucapannya : "Al Ikhwanul Muslimin memegang sikap bahwa Islam mempunyai implikasi yang luas dan menyeluruh. Islam mengawal semua tingkah laku individu dan masyarakat. Setiap sesuatu mestilah tunduk di bawah undang-undangNya dan mengikut ajaranNya. Sesiapa yang menurut Islam dari segi Ibadat saja tetap meniru orang kafir dalam semua hal lain boleh dianggap sama taraf dengan orang kafir".



khwanul Muslimin bercita-cita untuk menubuhkan sebuah negara Islam Mesir yang kuat dan memansuhkan semua parti-parti yang ada. Begitulah tegasnya sikap al Ikhwanul Muslimin sehinggakan menjadi syarat bagi sesiapa yang ingin menjadi ahli harakahnya berhenti dari menjadi ahli sebarang parti politik yang ada di Mesir pada zaman Raja Farouk.

Walaupun al Ikhwanul Muslimin menyokong Nasionalis Arab Sekular dalam soal membebaskan Mesir dari belenggu Penjajah, dan kesatuan Arab, ini bukanlah menjadi matlamat tetapi cara saja. Menyatukan bangsa Arab adalah langkah pertama kepada penyatuan Ummat Islam di negara Arab. Bebas dari penjajahan bermakna Ummat Islam mempunyai kesempatan untuk menubuhkan sebuah negara Islam. Malangnya apabila tergulingnya Raja Farouk dalam Revolusi 23hb. Julai 1952, negara Mesir ditukar kepada sebuah Negara Nasionalis Sekular tulin serta terus melanjutkan polisi membaratkan Mesir seperti yang dibuat oleh pemerintah dahulu.

Masa telah membuktikan bahawa pemerintah yang baru adalah sama ganasnya terhadap pergerakan Islam seperti pemerintah yang dulu juga malah mereka lebih tamak, zalim dan gila kuasa. Al Ikhwanul Muslimin bukan mahukan kuasa untuk kepentingan diri sendiri, malah mereka berjanji berkali-kali untuk menyokong sesiapa yang memerintah asalkan undang-undang Islam dijalankan. Semua ini ditolak mentah oleh diktator Tentera yang baru berkuasa itu.


Percubaan untuk menbunuh Presiden Gamal Abdul Nasser pada December 1954, menjadi alasan yang baik yang ditunggu-tunggu oleh kerajaan untuk menghancurkan Ikhwan al Muslimin. Ikhwan telah dituduh melakukan penembakan itu walaupun Ikhwan berkali-kali menafikannya. Beribu-ribu anggota Ikhwan telah ditangkap, dipenjara dan 6 orang telah digantung hingga mati. Protes dari dunia Islam tidak dilayan langsung. 12 tahun selepas peristiwa itu, iaitu pada tahun 1961, al Ikhwanul Muslimin telah difitnah sekali lagi sebagai penyebab kepada kegagalan dan kemunduran negara.


Akhirnya Presiden Nasser telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas yang penting untuk 'menghapuskan pengaruh gerakan apa yang dipanggil reaksionari Ikhwanul Muslimin'. Beliau (Gamal Abdul Nasser) telah mencadangkan supaya kuasa ketenteraan dan undang-undang digunakan untuk menghancurkan Harakah Islam ini.


Hassan Ismail Hudaybi, seorang hakim dan ulamak terkenal yang menggantikan Hassan al Banna debagai Ketua Penasihat Ikhwan telah disiksa walaupun umurnya sudah tua dan uzur. Pada 29hb. Ogos, 1966 tiga orang pemimpin Ikhwan telah dihukum bunuh. Yang paling terkenal di antara tiga itu ialah Ash-Shaheed Sayyid Qutb yang juga seorang ulamak dan penulis terkenal di dunia Arab. Adiknya Muhammad Qutb yang juga seorang penulis yang terkenal. Dua orang adik perempuannya, Aminah dan Hamidah Qutb pun turut dikurung dalam penjara bertahun-tahun lamanya.


Beberapa tahun dahulu. Sheikh Hassan al Banna telah meramalkan mala petaka ini dan memberi amaran kepada pengikut-pengikutnya bahawa Ikhwanul Muslimin akan dihina, ditentang, ditahan, dianiaya, disiksa dan akan dikenakan kesusahan yang amat pahit. Sementara itu beliau berjanji bahawa kemenangan di dunia dan di akhirat akan tetap bersama Ikhwan akhirnya.

Walaupun Ikhwan al Muslimin ditindas di negaranya sendiri, Ikhwan di Syria, Jordan, Lebanon dan Sudan terus bergiat dengan aktivitinya. Di Geneva, Dr. Said Ramadhan mengahwini anak perempuan Hassan al Banna dan menyibarkan prinsip perjuangan Islam di Barat dengan hebat. Beliau keluar dari Mesir apabila beliau dijatuhkan hukuman bunuh oleh kerajaan Mesir. "


Dunia Islam telah dibahagi-bahagikan sesama kuffar la’natullah sebagaimana makanan dibahagi-bahagikan, bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW bahawa umat Islam akhir zaman seumpama makanan yang dikerumuni oleh musuh-musuh. Khilafah Islamiyyah telah jatuh secara rasminya pada tahun 1924, walaupun secara rohaninya memang telah runtuh jauh lebih lama sebelum itu bermula zaman Kerajaan Bani Umaiyah.

Menurut Sufyan Ath Thauri, salah seorang wali Allah yang tersohor- Khalifah yang benar itu hanya ada lima: Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, Saidina Ali dan Khalifah Umar Abdul Aziz. Namun tidak kita nafikan masih ada beberapa orang lagi bekas Khalifah Islam yang telah cuba mengikut cara Rasulullah saw. Muslim yang berjuang di bawah naungan jihad telah diperangi habis-habisan, sehingga umat Islam yang tinggal hanyalah Muslim yang berkulitkan Islam- luar Islam lain di dalam.

Allah SWT telah menjanjikan menerusi lidah Rasul-Nya, akan muncul setiap 100 tahun seorang Mujaddid yang akan menghidupkan kembali ajaran-Nya dan menyalakan kembali api perjuangan para Nabi dan Rasul serta para Sahabat. Antara ciri-ciri seorang mujaddid ialah perjuangannya amat berlainan dengan taifah-taifah yang sezaman dengannya, dia membawa minda perjuangan Islam yang baru- yang belum pernah ada sebelum itu, perjuangannya zahir di awal kurun Hijrah, perjuangannya merebak begitu cepat ke seluruh pelusuk dunia Islam, mendapat tentangan yang hebat pada mulanya walaupun dari dalam dunia Islam sendiri, dibantu dengan karamah dan lain-lain.

Ternyata umat Islam tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan kebangkitan para pemuda-pemudi Islam yang menggelarkan diri mereka Ikhwanul Muslimin, dipimpin oleh al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna (masyhur dengan susunan Ma’thurat yang disusun oleh beliau) pada tahun 1928 di Mesir. Al-Banna telah menyediakan satu asas Gerakan Islam (Harakah Islamiyyah) yang kukuh berpandukan kepada sirah perjuangan Rasulullah SAW, yang kini menjadi contoh kepada Gerakan Islam hampir di 70 negara di seluruh dunia pada hari ini.

Meskipun umat Islam hari ini dipisah-pisahkan oleh sempadan negara akibat daripada semangat nasionalisme yang ditiup-tiupkan oleh penjajah kuffar, namun Gerakan Islam tetap mara dan utuh di setiap negara Islam dalam mendepani cabaran dan tekanan pemerintah dari segenap sudut. Hanya nama yang memisahkan antara satu Gerakan Islam dengan Gerakan Islam yang lain. Al-Banna merupakan seorang mujaddid, pejuang, penda’wah, murabbi dan pemimpin yang akhirnya menemui syahid di jalan Allah…

Kini dunia Islam hanya menunggu munculnya mujaddid baru abad ke-15 Hijrah, yang diharapkan mempunyai semangat Salahuddin al-Ayyubi, bagi memimpin umat Islam mendapatkan kembali kota suci Baitul Muqaddis, yang kini dikuasai Yahudi la’natullah. Yang mempunyai jiwa Muhammad Al Fateh, yang memiliki peribadi Nabi, yang berwatak Rasul, yang berminda Al Ghazali, yang setertib Umar Abdul Aziz.


Al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna




Beliau dilahirkan pada Oktober 1906 di Mahmudiah, dekat Iskandariah, Mesir. Ayahnya, Ahmad ibn ‘Abd ar-Rahman al-Banna, merupakan lulusan Azhar yang bekerja sebagai tukang jam, juga seorang imam dan guru al-Qur’an di masjid serta telah menghasilkan beberapa buku berkaitan dengan perundangan Islam. Sebagai anak sulung, al-Banna telah dididik dengan suasana keIslaman dan disemai dengan nilai-nilai Islam oleh ayahnya.


Semasa al-Banna kecil, beliau telah diharapkan oleh ayahnya agar menjadi seorang hafiz al-Quran. Al-Banna telah dihantar kepada seorang guru bernama Syaikh Muhammad Zahran yang mempunyai ilmu yang luas dan dalam, bertaqwa serta sangat berwibawa. Cara didikan Syeikh Zahran adalah sangat keras, sehinggakan para pelajarnya, termasuk al-Banna yang masih kecil merasa terbeban dengan hafalan, membaca dan menelaah kitab-kitab, yang faedahnya hanya dapat dirasakan oleh al-Banna setelah beliau dewasa.


Setelah Syeikh Zahran semakin sibuk dengan da’wahnya, sehingga tiada kesempatan untuk terus menjadi guru di sekolah ad-Diniyah ar-Rasyad, ayah al-Banna memindahkan al-Banna ke Madrasah Idadiyah, sambil tetap menyuruh al-Banna menghafal al-Quran di rumah. Pada ketika itu, al-Banna sudah pun menghafal separuh al-Quran.


Minat dan keaktifan Hasan Al-Banna dalam berorganisasi sudah kelihatan sejak dia belajar di madrasah tersebut. Di madrasah itu, al-Banna membentuk organisasi Persatuan Akhlak Mulia (PAM), atas cadangan salah seorang gurunya, yang bertujuan untuk menegakkan akhlak mulia di lingkungan madrasah.


Ketika berusia 13 tahun, Hasan Al-Banna melanjutkan pelajarannya ke Madrasah al-Muallimin al-Awwaliyah di Damanhur walaupun sebenarnya dia belum memenuhi syarat umur minimum 14 tahun. Hafalan al-Qurannya pun belum 100%, tetapi karena mudir madrasahnya melihat kecerdasan al-Banna, beliau memberi pengecualian.

Sejak usia muda ini, Hasan Al-Banna mulai tertarik dengan gerakan sufi yang saat itu marak di Mesir. Selain mengikuti zikir tasawuf, Hasan Al-Banna pun aktif ikut halaqah yang diadakan oleh syeikh-syeikh pemimpin sufi, terutamanya syeikh-syeikh dari tarikat Hashofiyah. Beliau sangat mengagumi tokoh utama dari tariqat ini, yaitu Syeikh Abdul Wahhab al Hashafi bin Syeikh Hasanain al-Hashafi.


Penglibatan al-Banna dalam aktiviti kesufian inilah yang telah membuatkan beliau menyedari betapa perlunya pemupukan sahsiah dan akhlak individu untuk menjadi prasyarat kepada proses pengIslaman masyarakat. Kata Imam Al Ghazali: Tarbiyyah sufi adalah tarbiyyah tertinggi. Dari sini jugalah beliau sedar betapa pentingnya untuk para pejuang mempunyai aurad (himpunan wirid-wirid yang biasa diamalakan oleh para sufi) sendiri yang dapat diamalkan setiap hari. Maka tersusunlah al-Ma’thurat .


Sekalipun Hasan Al-Banna ditarbiyyah secara sufi, namun beliau tetap tidak menyetujui cara hidup sebahagian orang-orang sufi yang berlebihan-lebihan dalam soal ibadah sahaja dan meninggalkan lapangan perjuangan Rasulullah yang syumul. Contohnya: beruzlah (mengasingkan diri) berlebih-lebihan ataupun yang hidup matinya hanya untuk untuk memperolehi kenikmatan beribadah secara peribadi sahaja. Ini sedikit-sebanyak menjadikan perjuangan mereka seakan-akan cara hidup penganut agama Hindu, Buddha dan Kristian.

BELAJAR DI KAHERAH DAN KESEDARAN REFORMASI

Pada 1923, pada usia 16, al-Banna telah memasuki Fakulti Darul ‘Ulum, Azhar yang masyhur di Kaherah. Di Azhar, bila teman-temannya memakai pakaian Mesir (topi khas yg bernama tharbus), al-Banna memakai serban, karena ingin mencontohi Rasulullah SAW. Selama 4 tahun di Kaherah, beliau telah terdedah kepada hiruk pikuk politik di Kaherah pada awal 1920an, dan meningkatkan kesedaran beliau tentang kesan fahaman sekular dan Barat yang telah menembusi masyarakat Islam, hingga ke akar umbi.


Inilah yang menyebabkan al-Banna begitu tersentuh dengan keadaan pemuda-pemudi Islam yang hanyut dari ajaran Islam. Al-Banna meyakini perang untuk memenangi hati dan pemikiran pemuda-pemudi adalah begitu penting untuk menyelamatkan Islam daripada serangan hebat Barat. Semasa belajar di Kaherah, al-Banna menyelami hasil penulisan reformis Islam yang awal, termasuklah Muhammad ‘Abduh (1849-1905), yang merupakan guru ayahnya semasa di Azhar. Tetapi yang banyak mempengaruhi pemikiran al-Banna merupakan murid ‘Abduh, iaitu Rashid Rida (1965-1935).


MENGAJAR DI ISMA'ILIYYAH

Selepas tamat belajar di Darul ‘Ulum pada 1927, berusia 21, al-Banna telah menjadi guru bahasa Arab di sebuah sekolah rendah di Isma’iliyyah. Pada masa itu, Isma’iliyyah merupakan pusat pemerintahan Canal Zone dan menjadi ibu pejabat Suez Canal Company (SCC). Ia menempatkan kem tentera dan kediaman bagi pekerja Barat yang mana menjadikan pekerja dan penduduk Mesir di situ sebagai kelas kedua, iaitu menjadi buruh kasar di perusahaan-perusahaan Eropah itu.


Kehidupan agama Islam yang dianut penduduk Ismailia pun terumbang-ambing dalam pertentangan khilafiah antara pelbagai kelompok tasawuf. Tugas al-Banna yang pertama ialah meningkat kesedaran dan penyatuan aqidah di kalangan masyarakat Ismai’iliyyah. Al-Banna melihat kehadiran kuffar ke Isma’iliyyah sebagai pendudukan tentera, pengeksploitasian ekonomi, pencemaran budaya dan kehilangan maruah.


Ini meningkatkan semangatnya untuk mengusir British daripada Mesir, dan umumnya, pengaruh Barat. Daripada saat al-Banna tiba di Isma’iliyyah, beliau telah melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti masyarakat. Al-Banna berusaha untuk merapatkan diri dengan orang-orang penting di bandar tersebut sambil bergaul mesra dengan seberapa banyak masyarakat umum yang boleh.


PERKEMBANGAN IKHWANUL MUSLIMIN

Pada tahun 1933, di atas kemahuannya sendiri, al-Banna dipindahkan ke Kaherah, di mana beliau turut memindahkan pusat gerakannya. Sejak dari saat itu, Ikhwan telah berkembang dengan pesat dan Kaherah menjadi pusat da’wah. Faktor utama yang menyumbang kepada perkembangan mendadak ini ialah organisasi dan ideologi kepimpinan yang diterapkan oleh al-Banna.


Pada 1934, Ikhwan telah membuka lebih daripada 50 cawangan di Mesir. Pada hujung 1930an, Ikhwan telah mempunyai cawangan di setiap daerah di Mesir. Ikhwan menubuhkan banyak sekolah, masjid dan kilang. Beliau menerbitkan akhbar harian di Kaherah yang diberi nama “al-Ikhwan al-Muslimoon” yang membolehkan beliau berda’wah dengan lebih meluas, berbanding dengan syarahan.


Selepas 1938, Ikhwan mula menampakkan menampakkan luarannya yang bercorak politik. Ikhwan menggesa ke arah dunia Islam yang sejati dan menolak Barat dan sekular. Ikhwanul Muslimin melihat pemikiran sebeginilah yang merosakkan asas masyarakat Islam di era moden, dan menganjurkan kembali kepada Islam sebagai penyelesaian kepada masalah dan penyakit masyarakat Islam. Pada akhir perang dunia kedua, Ikhwan telah mempunyai 500 000 ahli yang aktif dan lebih kurang 2 kali ganda penyokong (ada sumber yang mengatakan 3 juta). Akitiviti Ikhwan mula melampaui sempadan antarabangsa.


Ikhwan turut berkembang dengan pesat di Jordan, Syria, Palestin, Lubnan dan Afrika Utara. Pada awal 1950an, cawangan Ikhwan telah ditubuhkan di Syria, Sudan dan Jordan. Antara 1942-45, al-Banna banyak melawat Jordan bagi mengembangkan sayap Ikhwan di sana. Lebih daripada 2000 cawangan ditubuhkan secara keseluruhannya dan 50 di Sudan. Kemudian, pengaruh Ikhwan telah dirasai di merata tempat di dunia, di Teluk dan negara bukan Arab seperti Iran, Pakistan, Indonesia dan Malaysia.


Dalam usia yang begitu muda, al-Banna telah muncul sebagai pemimpin besar, selaku Mursyidul Am Ikhwan yang pertama. Antara yang berada di bawah pimpinannya ialah tokoh-tokoh hebat seperti Syeikh Amien Al-Husaini (Mufti Palestin), Syeikh Dr Mustafa As-Siba'i (ahli hukum, intelektual dan tokoh pejuang Palestin), Syeikh Muhammad Al-Faraghy (patriot besar yang hanya mahu meninggalkan Iskandariah bila al-Banna yang menyuruhnya, bukannya British dengan segala kekuatan tenteranya).


Peningkatan yang mendadak ini mula menarik perhatian British dan anak didik mereka, iaitu ahli-ahli politik Mesir ketika itu. Mereka mendesak al-Banna untuk tidak meneruskan gerakannya, namun beliau tetap pada kedudukannya. Bahkan Richard Michael, agen CIA di Kedutaan AS di Kaherah, Mesir tampak ketakutan ketika Sirah Nabawiyah yang diajarkan al-Banna telah membangkitkan semangat perjuangan generasi muda muslim.


British mengadakan dunia adalah terlalu fragile dan Mesir hendaklah dibina ke arah modenisasi dan kemakmuran. British membayangkan bahawa Ikhwan perlu mendapatkan pertolongan daripada British untuk terus maju. Al-Banna mendengar dengan sabar, dan kemudian dengan berani dan tegas memberitahu duta British bahawa Mesir dan kesemua harta kekayaannya adalah milik rakyat Mesir dan masa untuk British di Mesir sudah berada di penghujung.


JIHAD DI PALESTIN

Apabila tragedi Palestin berlaku pada 1946, angkatan Ikhwan merupakan antara bala tentera yang aktif. Dengan semangat jihad dan cintakan syahid, angkatan Ikhwan yang serba kekurangan adalah lebih digeruni oleh bala tentera Yahudi la’natullah, berbanding tentera-tentera kerajaan Mesir, Syria dan Jordan yang cukup lengkap dengan peralatan dan latihan, tetapi kosong roh Islam dan tiada pergantungan kepada Allah.


Ini adalah bukti bahawa di sana adanya pertolongan Allah yang tidak tertakluk kepada logik akal, dan juga bukti bahawa Ikhwanul Muslimin adalah Gerakan Islam yang benar dan begitu jugalah Gerakan-Gerakan Islam lainnya yang mengikuti jejak langkah Ikhwanul Muslimin. Angkatan jihad Ikhwan telah pun berjaya sampai ke pintu masuk Tel Aviv dan hampir mampu menguasainya, namun dinafikan oleh pengkhianatan oleh pemerintah-pemerintah Arab pada masa itu.


Ini disebabkan mereka bimbang sekiranya Ikhwan mendapat kemenangan, pengaruh dan sokongan terhadap Ikhwan pasti akan bertambah dan sukar untuk disekat. Untuk itu, Raja Faruk telah memenjarakan ramai ahli-ahli Ikhwan. Perdana Menteri Mesir ketika itu, Noqrashi Pasha telah mengharamkan Ikhwan. Tidak lama kemudian, Perdana Menteri Mesir itu telah dibunuh dan kejadian itu dikaitkan pula dengan Ikhwan. Beberapa bulan berikutnya, segala aset Ikhwan telah dirampas dan beribu-ribu pemuda-pemudi Ikhwan telah ditangkap dan dipenjara.


Pada 1948, al-Banna secara lantang mengatakan bahawa kerajaan Mesir bertanggungjawab di atas kelemahan dan kekalahan tentera Arab dalam Perang Palestin I melawan Yahudi. Akhirnya, al-Banna telah diusir ke bahagian utara Mesir pada tahun 1948.


SYAHIDNYA SEORANG PEJUANG

Akhirnya, satu komplot telah dirancang oleh kerajaan Mesir dan British dan dilaksanakan oleh anjing-anjing mereka untuk membunuh al-Banna. Pada 12 Februari 1949, pada hari yang cerah di sebuah pasar di Kaherah, al-Banna telah ditembak oleh agen kerajaan di hadapan bangunan Persatuan Pemuda Islam. Selepas beliau dibawa ke hospital, beliau telah dibiarkan terlantar di atas lantai dengan darah yang masih mengalir tanpa adanya bantuan dari sesiapa pun untuk menyelamatkan beliau. Dua jam selepas beliau ditembak, beliau meninggal dunia menuju Ilahi. Tiada seorang pun telah dibawa ke muka pengadilan di atas kejadian tersebut. Al-Banna hanya berusia 43 tahun pada ketika itu. Anak perempuan bongsunya juga dilahirkan pada hari yang sama. Ibunya telah menamakannya ‘Ishtisyhad’ iaitu kesyahidan (martyrdom).


Allah SWT adalah sebaik-baik perancang. Allah SWT tidak membiarkan perjuangan al-Banna berkubur begitu sahaja lantaran umur dunianya yang begitu singkat. Benih-benih Islam dan kader-kader pejuang hasil tarbiyyah al-Banna tanpa penat lelah telah meneruskan perjuangan al-Banna.


Al-Banna sendiri lebih suka “mengumpul orang daripada mengumpulkan maklumat ke dalam buku”, dan dengan itu beliau telah membina organisasi Ikhwan dan menyediakan panduan-panduan bagi membolehkan Ikhwan tetap hidup, walaupun tanpa kehadirannya. Hanya sedikit penulisan-penulisan yang dihasilkannya kerana kebanyakkan masanya dihabiskan untuk pentarbiyyahan. Antara bukunya yang terpenting ialah “Warkah Kepada Pelajar Muslim”, di mana al-Banna menerangkan prinsip-prinsip Gerakan Islam.


MURSYIDUL AM IKHWAN

Antara Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin yang terawal ialah :

i) al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna

ii) Hassan al-Hudaibi

iii) Umar at-Tilmissani

iv) Muhammad Hamed Abul-Nasr

v) Mustafa Masyhur


BEBERAPA TOKOH IKHWAN LAIN

As-Syahid Sayyed Qutb (Mesir)

As-Syahid Abdul Qader 'Audah (Mesir)

Sheikh Mustapha Al-Siba'yi (Syria)

Sheikh Yusuf Al-Qaradawi (Qatar)

Sheikh Sa'eed Hawwa (Syria)

As-Syahid Abdullah 'Azzam (Palestine – syahid di Afghanistan)

Sheikh Muhammad Ahmad Al-Rashid (Iraq)

Sheikh Abdul-Fattah Abu Ghuddah (Syria)

As-Syahid Sheikh Ahmad Yaseen (Palestine – mengasaskan HAMAS)

Sheikh Sayed Sabiq (Mesir)

Sheikh Muhammad Al-Ghazaly (Mesir)

Rached al-Ghannoushi Mahmouz al-Nannah Fathi Yakan (Lubnan)

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah Muneer al-Ghadban Syeikh Abdul Majeed al-Zindanee Syeikh Muhammad Mahmud Shawwaf (Iraq)

Syeikh Abdul Latif Abu Qurrah


PENUTUP

Berpandukan kepada Gerakan Ikhwanul Muslimin inilah munculnya Gerakan-Gerakan Islam yang lain di setiap watan (negara) Islam di seluruh dunia. Begitulah buah tangan seorang mujaddid, ia pasti akan menular ke seluruh dunia.

Antaranya ialah Jami’at E Islami (Pakistan – diasaskan oleh Sayyid Abul A’la al-Maududi),

Parti Refah (Turki – diasaskan oleh Najmuddin Erbakan, telahpun diharamkan dan beliau telah dipenjara. Parti AK yang memerintah Turki pada hari ini, yang diketuai oleh Recep Tayyip Erdogan, ialah hasil tarbiyyah Najmuddin),
FIS – Front Islamique du Salut (Algeria – memenangi pilihanraya pada 1990, namun dijatuhkan oleh kuasa tentera, beribu-ribu ahli dibunuh dan dipenjara),

HAMAS - Harakah Muqawwamah Islamiah (Palestin) dan Gerakan-Gerakan Islam lain yang diasaskan berdasarkan ideologi Ikhwan.


Gerakan-gerakan ini bergerak serentak di seluruh dunia, mengharungi cabaran mengikut keadaan dan suasana di watan masing-masing, namun mempunyai wihdatul fikr dan wihdatul amal yang satu.


Muktamar di peringkat antarabangsa sering diadakan dan Gerakan-gerakan Islam kini bergerak untuk menegakkan khilafah dan membebaskan bumi Islam dari musuh kuffar dan juga yang bertopengkan Islam.

1. ALLAH MATLAMAT KAMI

2. RASULULLAH PEMIMPIN KAMI

3. AL QURAN PERLEMBAGAAN KAMI

4. JIHAD JALAN KAMI

5. MATI SYAHID CITA-CITA KAMI YANG TERTINGGI











































Tiada ulasan:

Catat Ulasan